'Kenalan tawar Ford Raptor untuk disewa'

Iklan
Muhammad Sanusi

SINTOK -"Gambar kenderaan Ford Raptor yang tular baru-baru ini adalah milik seorang kenalan dan ditawarkan kepada saya untuk disewa," kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, beliau mengesahkan bahawa kenderaan tersebut bukan miliknya dan tempat parkir yang tular sebelum ini bukan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Jeneri, Sik.

Iklan
Iklan

"Selepas kejadian saya dilihat hadir di sebuah pusat pameran kenderaan di Juru, Pulau Pinang pada Jun lalu, seorang kenalan memberi pandangan ada keperluan membeli kenderaan pacuan empat roda (4WD) seperti itu.

"Kenalan tersebut membeli dan menawarkan kepada saya untuk disewa. Saya kata tengok harga, kalau harga elok saya sewa.

Iklan

"Ada yang sewa harian, mingguan, bulanan, seumur hidup, ada ramai yang buat pakej macam itu," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menjawab persoalan pemberita siapakah pemilik sebenar kenderaan tersebut selepas tidak mengesahkannya pada Jumaat sebaliknya meminta pihak berkaitan menyemak dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Iklan

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau terkilan kerana terpaksa membuang masa untuk memperbetulkan persepsi tersebut selain tidak mempunyai kaitan dengan pentadbirannya.

"Saya ada satu kenderaan pacuan empat roda (4WD) tapi diserahkan kepada PKWR Jeneri untuk petugas menghantar bakul makanan di sekitar kawasan Sik. Saya hantar banyak tempat dan memang ada keperluan untuk menggunakan 4WD.

"Tugas Menteri Besar ini sepatutnya diukur pada prestasi kerja, tunai tanggungjawab atau tidak.

"Ada orang jadi Menteri Besar berpuluh tahun namun prestasi kerja tak dapat diukur. Saya ini baru setahun tapi boleh ukur hasil kerja," katanya lagi.

Jelasnya, sepanjang menjawat tugas tersebut, pentadbirannya berjaya ditambah baik selain membayar hutang negeri seperti hutang Syarikat Air Darul Aman (SADA) RM147 juta, hutang Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) RM30 juta termasuk menyimpan duit ratusan juta.