Jururawat nafi tersalah cucuk vaksin

Iklan
Hantaran seorang pengguna media sosial yang mengingatkan orang ramai untuk menyemak terlebih dahulu sebelum divaksin bagi memastikan tidak berlaku kesilapan.

SIK - Seorang jururawat tampil membuat laporan polis menafikan bahawa tersilap memberi suntikan vaksin seperti mana tular di media sosial.

Perkara itu didakwa telah menyebabkan imej dan kredibiliti kerjaya beliau sebagai petugas barisan hadapan terjejas serta mengganggu emosi dalam menjalankan tugas.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Othman berkata, pihaknya menerima laporan polis yang telah dibuat oleh jururawat terbabit yang dikaitkan dengan insiden tersilap cucuk vaksin baru-baru ini.

Menurutnya, perkara itu telah mencalarkan imej serta kredibiliti jururawat berkenaan selain kesal setelah gambarnya dimuat naik pengguna media sosial.

Iklan

"Laporan polis dibuat kerana tidak berpuas hati serta ingin membersihkan imej dari tuduhan yang dilemparkan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Abdull Razak, pihaknya juga menerima laporan polis daripada pengguna laman sosial yang mendakwa tersilap memuat naik gambar jururawat tersebut.

Iklan

Setakat ini, gambar jururawat terbabit dikesan telah dipadamkan dari hantaran berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sebelum ini tular mengenai hantaran seorang pengguna laman sosial Facebook yang mendakwa ibunya diberikan suntikan vaksin dos kedua jenis berbeza dengan dos pertama.

Hantaran yang dimuat naik itu juga mendakwa berkemungkinan telah berlaku kesilapan ketika ibunya divaksin.

Individu itu turut mengingatkan orang ramai untuk menyemak terlebih dahulu sebelum divaksin bagi memastikan bahawa kejadian sama tidak berulang pada masa depan.