Tempoh pemegang jawatan MKT tamat tidak berbangkit

Iklan
Ahmad Maslan

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] UMNO berpandangan kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bahawa tempoh pemegang jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu tidak berbangkit.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini berdasarkan rentetan kronologi surat menyurat membabitkan RoS dan UMNO sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Telah wujud satu harapan yang sah oleh pihak UMNO ke atas pihak RoS untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti.

"UMNO berharap dengan penjelasan ini, polemik antara UMNO dan RoS dapat diselesaikan,” katanya menerusi sidang akhbar khasnya pada Sabtu.

Iklan

RoS sebelum ini menetapkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketua Pengarahnya, Jasri Kasim, berkata ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahli Palimen Pontian itu turut memberikan kronologi tarikh-tarikh penting membabitkan surat antara UMNO dan RoS.

"Seperti pihak RoS sedia maklum, MKT telah membuat keputusan menangguhkan pemilihan untuk tempoh 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO melalui surat UMNO kepada pihak RoS bertarikh 24 Jun 2021.

"MKT telah membuat keputusan secara majoriti melalui resolusi pekeliling dan dalam menjalankan kuasanya menurut Fasal 10.16 yang bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, Perlembagaan UMNO tidak menyebut secara khusus berkenaan dengan kaedah untuk MKT membuat keputusan.

"Oleh itu, keputusan MKT telah dibuat berdasarkan suara majoriti 52 daripada 56 ahli MKT yang telah bersetuju agar pemilihan parti ditangguhkan.

"Pihak RoS juga telah memperakui penerimaan surat UMNO bertarikh 24 Jun 2021 melalui surat RoS bertarikh 19 Julai 2021 yang antara lain telah menyatakan bahawa pihak RoS tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan parti UMNO dan keputusan ini adalah mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.

"Keputusan mesyuarat MKT pada 7 Julai 2021 yang dimaklumkan kepada pihak RoS melalui surat UMNO bertarikh 30 Julai 2021 hanyalah untuk mengesahkan keputusan MKT yang dibuat terlebih awal melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021,” katanya.

Jelasnya, pentafsiran yang diberikan oleh peguam cara UMNO terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO jelas menyatakan bahawa penangguhan pemilihan UMNO adalah kuasa mutlak MKT dan disebabkan itu UMNO hanya perlu memaklumkan kepada pihak RoS.

Ahmad menambah, dengan kes Covid-19 yang tinggi di negara ini yang mencecah sekitar 20,000 kes sehari telah menambah kesukaran untuk mesyuarat perwakilan dan pemilihan diadakan.

"Dengan penglibatan 3.3 juta orang ahli UMNO dan 66,287 jumlah mesyuarat perwakilan UMNO di seluruh negara,” jelasnya.