Doakan kejayaan saya bawa pulang pingat emas: Mohd Azizulhasni

Iklan

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang meminta seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kejayaannya membawa pulang pingat emas Olimpik pertama di Tokyo pada hari terakhir temasya berprestij dunia itu esok (Ahad).

Mohd Azizulhasni, 33, mengesahkan slot di pusingan suku akhir acara keirin bersama rakan senegara Muhammad Shah Firdaus Sahrom selepas masing-masing melepasi cabaran pusingan pertama di Velodrom Izu, Shizuoka, pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, saingan suku akhir yang disusuli dengan aksi separuh akhir dan akhir esok bakal menyaksikan kedua-dua pelumba negara berdepan satu lagi cabaran getir dalam melaksanakan misi melakar kejayaan bersejarah di bumi Tokyo.

Justeru, Mohd Azizulhasni yang merupakan bekas juara dunia keirin 2017 mengharapkan doa serta sokongan daripada peminat untuk mengharungi halangan terakhir dalam memburu kilauan pingat emas yang dinanti-nantikan.

Iklan

"Saya tidak minta banyak, untuk semua rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, doakan saya, doakan saya untuk perlumbaan esok kerana it's gonna be really tough (ia sungguh mencabar) sebab kita ada tiga perlumbaan dalam hari yang sama, suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Doakan semuanya berjalan lancar, tiada kemalangan, tiada himpitan dan apa sahaja. Insya-Allah doakan juga kejayaan saya untuk memenangi emas esok," katanya kepada sebuah stesen televisyen swasta Malaysia selepas perlumbaan itu.

Iklan

Pada aksi pusingan pertama hari ini, Mohd Azizulhasni menepati ramalan ke suku akhir apabila mudah mengungguli perlumbaan Saringan Tiga menewaskan pelumba Trinidad and Tobago, Nicholas Paul di tempat kedua dan Patryk Rajkowski dari Poland di kedudukan ketiga.

Manakala Muhammad Shah Firdaus yang mengalami kemalangan selepas terjatuh akibat daripada perlanggaran dengan pelumba Great Britain Jack Carlin pada Saringan Dua pusingan pertama, mara setelah menamatkan saingan Saringan Dua repechage di tempat kedua.

"Pelumba Malaysia kita ada kelajuan, cuma tak ada high power (kuasa tinggi) untuk berlumba dalam acara pecut. Sebab itu saya kata kita (Malaysia) ada peluang cerah dalam acara keirin, bukannya nak kata kita memang sudah ada jaminan akan menang.

Kita masih perlu berusaha dan juga bertawakal kepada Allah dan kita juga kena execute the plan really well (melaksanakan apa yang dirancang sebaik mungkin), selain 100 peratus fokus pada hari perlumbaan," kata pemenang pingat gangsa dalam acara sama pada edisi Rio 2016.

Dalam saingan peringkat suku akhir esok, Mohd Azizulhasni berada dalam Saringan Tiga bersama dengan Matthew Glaetzer dari Australia, Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (Jawatankuasa Olimpik Rusia) dan Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.

Sementara itu Muhammad Shah Firdaus pula akan bersaing dengan Carlin di Saringan Dua bersama dengan Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Tjon En Fa (Surinam) dan Nicholas Paul (Trininad and Tobago). - Bernama