'Kenyataan melampau, Satim perlu mohon maaf'

Iklan
Zawawi Ahmad Mughni, Mohamad Satim Diman

SHAH ALAM-Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohamad Satim Diman yang mengaitkan kematian ADUN PH di Selangor sebagai amaran ALLAH disifatkan melampau dan di luar kebiasaan tata susila budaya Melayu serta akhlak dalam Islam.

Satim didakwa mengeluarkan kenyataan yang turut meminta supaya rakyat memilih parti yang tepat dalam ucapan ketika ceramah umum BN bagi PRK DUN Semenyih, semalam.

Iklan
Iklan

Adun Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni berkata, kenyataan Satim menggambarkan pemimpin UMNO semakin terdesak untuk memenangi hati rakyat dengan menggunakan kempen yang biadab dan kurang ajar.

"Apakah sebenarnya niat pemimpin UMNO tersebut menjadikan kematian ADUN sebagai satu celaan dan serangan kepada pihak PH? Tentunya ini adalah gambaran psikologi dalaman para pimpinan UMNO yang semakin tertekan dengan sokongan rakyat Selangor yang terus meningkat kepada Kerajaan PH di Selangor.

Iklan

"Sebagai sahabat perjuangan kepada Allahyarham Shuhaimi Shafie (DUN Sungai Kandis), Prof Dr Shaharudin Badaruddin (DUN Seri Setia) dan Bakhtiar Mohd Nor (DUN Semenyih), saya merasakan bahawa kenyataan Satim melampau," katanya.

Zawawi yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja menuntut Satim menarik balik kenyataannya.

Iklan

"Saya minta Satim mohon maaf kepada keluarga, kerabat dan sahabat handai Allahyarham kerana menyinggung perasaan dan menyentuh emosi mereka selepas kehilangan orang yang tersayang.

"Perasaan mereka dipermain-mainkan oleh pihak UMNO-BN untuk keuntungan politik semata-mata begitu jelas kelihatan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, kenyataan Satim tidak wajar kerana mengguris hati ahli keluarga wakil rakyat terlibat.

Beliau mendesak bekas ADUN Seri Serdang itu menarik balik kenyataan terbabit.

"Sebagai seorang ahli politik beragama Islam, Satim seharusnya memahami konsep qada dan qadar yang terkandung dalam rukun iman dan tidak menggunakannya sebagai modal politik sempit ketika kempen pilihanraya.

"Saya percaya kenyataan dangkal itu mengguris hati keluarga empat ADUN yang kehilangan insan mereka cintai. Justeru, saya gesa Satim untuk tarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada ahli keluarga empat wakil rakyat tersebut," katanya.

Selepas PRU14, empat PRK diadakan di DUN Selangor selepas penyandangnya iaitu Shuhaimi, Dr Shaharudin, Eddie Ng Tien Chee (ADUN Balakong) dan Bakhtiar meninggal dunia.