SHAH ALAM - Individu yang tidak mengutamakan keberkatan terutama dalam perihal wang ringgit menyebabkan mereka tidak segan silu menjadikan rasuah sebagai salah satu sumber pendapatan.
Pensyarah Psikologi dan Kaunseling daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Aslina Ahmad berkata, hal tersebut berlaku kerana pengamal rasuah tidak dapat melawan hawa nafsu dan menolak aspek agama serta moral.
"Mereka lebih mengutamakan keadaan dan keperluan sekarang, bukannya hari akhirat.
"Untuk seketika, agama dan moral tidak lagi menjadi pertimbangan utama hingga ia menjadi kebiasaan dan tidak jelas salah betulnya lagi.
"Dosa dan berkat wang ringgit tidak menjadi pertimbangan,” katanya kepada krew Rasuah Busters pada Rabu.
Aslina yang juga merupakan Penolong Setiausaha Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (Perkama) berkata, hala tuju kehidupan merupakan aspek penting di mana dunia merupakan persinggahan sementara.
"Daripada tanah kita datang, maka ke tanah jua kita kembali. Jika hal ini sentiasa diingati, hala tuju kehidupan kita akan lebih menjurus ke arah kebaikan.
"Pastikan rezeki berkat, bukan datang daripada sumber seperti rasuah agar hidup tenteram dan sejahtera,” jelasnya.
Beliau berkata, sekiranya rasuah diterima sebagai satu budaya, setiap sesuatu yang diingini akan disertai dengan ganjaran dan tiada lagi nilai ikhlas dalam bekerja.
Katanya, individu yang berbakat dan berpotensi akan bergantung pada betapa bijaknya seseorang mendapatkan kemahuannya dengan memberi ganjaran sesuai.
"Maka di manakah keadilan bagi mereka yang telus dan tidak menggunakan kaedah rasuah untuk berjaya?" soal beliau.