Terengganu FC ekori rapat JDT

Iklan
Da Silva meraikan jaringan bersama pemain Terengganu FC semasa perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO: TERENGGANU FC

TERENGGANU FC meneruskan momentum positif baki saingan liga apabila melakar kemenangan meyakinkan' 2-0 ketika melayan kunjungan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.

Anak buah Nafuzi Zain yang masih segar dengan kemenangan 3-1 ke atas Petaling Jaya City FC sebelum ini terlebih dulu mendahului pelawat menerusi jaringan pemain import David Da Silva pada minit ke-13.

Iklan
Iklan

Faisal Abdul Halim tidak ketinggalan mencatat nama sebagai penjaring apabila menambah jaringan skuad Peteh Ganu Peteh itu pada minit ke-24 untuk kedudukan 2-0 kekal hingga perlawanan tamat.

Kemenangan ke-11 selepas mengharungi 18 perlawanan membolehkan Terengganu FC mengumpul 37 mata terus mengekori rapat Johor Darul Ta'zim (JDT) yang kini mengungguli liga dengan 42 mata kurang satu perlawanan.

Iklan

Sementara di Cheras, jaringan Paulo Josue pada minit ke-31 membolehkan Kuala Lumpur City FC mengakhiri kemarau kemenangan dalam lima perlawanan terakhir apabila menundukkan Petaling Jaya City FC 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Penang FC tidak berdepan masalah menjinakkan Melaka United 2-1 hasil jaringan Rafael Vitor (75') dan Sheriddin Boboev (93') manakala pelawat mengurangkan defisit hasil jaringan Giovane Gomes (90').

Iklan

Pada saingan Liga Premier pula, Sarawak United menggunakan kelebihan beraksi di Stadium Negeri apabila melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas Kelantan FC.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula, Selangor 2 FC sekadar melakar kemenangan 1-0 ke atas Perak II FC manakala Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pula berpesta gol apabila melakar kemenangan 5-1 ke atas skuad Projek FAM-MSN 5-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.