JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang melangkah ke separuh akhir acara keirin lelaki dan bergerak selangkah lagi bagi memenangi pingat emas pertama Olimpik Malaysia di Veledrom Izu, Shizuoka di sini pada Ahad.
Juara keirin dunia berusia 33 tahun itu menduduki tempat kedua Saringan Tiga selepas tampil tenang untuk menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Jepun Yuta Wakimoto yang memenangi pingat perak keirin di Kejohanan Dunia 2020.
Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago dan pelumba Australia Matthew Glaetzer masing-masing di tempat ke tiga dan empat, bagi melengkapkan senarai mereka yang layak ke pusingan seterusnya.
Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terkeluar dari cabaran di suku akhir selepas menamatkan Saringan Dua di tempat terakhir.
Perlumbaan itu dimenangi Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago, manakala pelumba Great Britain Jack Carlin yang menang gangsa acara pecut pada Jumaat di tempat kedua, manakala Jair Tjon En Fa (Surinam) ketiga, dan Maximilian Levy (Jerman) di tempat keempat.
Pada Sabtu, Muhammad Shah Firdaus, 25, mengalami kecederaan selepas terlibat dalam pelanggaran bersama Jack Carlin dalam Saringan Dua, di mana beliau telah dikejarkan ke Hospital Universiti Juntendo di Shizuoka.
Separuh akhir bermula pada 10.09 pagi Ahad. - Bernama