GEORGETOWN - DAP Pulau Pinang mempertikaikan sikap berdiam diri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung situasi dihadapi pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam.
Setiausahanya, Lim Hui Ying berkata, amat memalukan apabila Rina yang sepatutnya boleh campur tangan dalam isu dihadapi pelajar berusia 17 tahun berkenaan, namun memilih untuk berdiam diri.
Beliau berkata, Ain kini sedang berdepan dengan tuntutan mahkamah sebanyak RM1 juta yang difailkan guru sekolahnya bersabit isu gurauan rogol selain disiasat oleh polis atas dakwaan menghina dengan sengaja.
"Rina perlu membuat pendirian mengenai situasi yang dihadapi oleh Ain.
"Ain adalah anak muda dan generasinya akan menjadi pemimpin negara masa depan. Sikap tidak peduli menteri hanya memberi contoh buruk kepada masa depan mereka," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Hui Ying berkata, kerajaan melalui agensi berkaitan seharusnya mendampingi Ain kerana menjadi mangsa dalam isu yang didedahkannya dan bukan hanya mengatakan masalah itu tidak boleh dianggap remeh dan tindakan tegas akan diambil.
Beliau berkata, saman terhadap pelajar itu telah dikemukakan dan siasatan terhadapnya juga sudah dijalankan sementara kes gurauan rogol yang dilakukan guru terbabit telah ditutup.
"Mengapa Rina masih berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa?
"Adakah ini pendirian yang ingin disampaikan oleh pemerintah Perikatan Nasional (PN) kepada wanita muda? Adakah dengan mendedahkan salah laku guru hanya akan menimbulkan masalah kepada pelajar?
"Kami akan berdiri dengan Ain dan saya menyeru semua wanita untuk berdiri bersamanya bagi menunjukkan bahawa kita boleh melakukan yang lebih baik daripada menteri pintu belakang," katanya.