KUALA LUMPUR - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyalurkan RM10.3 juta menerusi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 kepada 2,061 waris individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 setakat Jumaat (6 Ogos) lalu.
Ketua Pengarah Nadma Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, ia berdasarkan sejumlah 3,618 permohonan diterima untuk bantuan berkenaan, dengan baki 590 permohonan sedang diproses dan 967 permohonan sedang dalam padanan data dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Bercakap kepada Bernama pada Ahad, beliau berkata, hanya waris si mati bagi kematian berkaitan Covid-19 yang melibatkan warganegara Malaysia di negara ini sahaja boleh memohon bantuan khas melibatkan pembayaran one-off RM5,000 itu.
Aminuddin juga menjelaskan, hanya pengesahan kematian berkaitan Covid-19 yang dikeluarkan oleh KKM terpakai untuk pengesahan bantuan khas ini selain hanya satu waris sahaja yang layak menerimanya.
Berhubung masalah waris yang menghadapi kesukaran mengemukakan dokumen berkaitan, Aminuddin berkata, pihaknya sedia membantu bagi mempermudahkan proses permohonan.
"Contohnya, ada keluhan tak ada sijil kematian sebab Jabatan Pendaftaran Negara tak buka, pakailah apa-apa dokumen menunjukkan bahawa mereka ini benar-benar meninggal akibat Covid-19, sijil kubur ke dan apa juga dokumentasi supaya kami dapat proses dalam masa terdekat,” katanya.
Bayaran bantuan khas itu akan dibuat secara pindahan dana elektronik (EFT) kepada pemohon yang layak dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan yang lengkap. -Bernama