TGS Pulau Pinang harap dapat kekuatan baharu harungi Covid-19

Iklan
Taman ekopelancongan seluas 3.2 hektar itu yang memiliki lebih 500 jenis herba dan rempah di Teluk Bahang. - Foto Bernama

GEORGETOWN - Taman Rempah Tropika (TSG) Pulau Pinang berharap mendapat kekuatan baharu demi kelangsungan hidup dan pemulihan untuk mengharungi pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan di seluruh negara.

Berikutan pelaksanaan sekatan perjalanan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan Covid-19, taman ekopelancongan seluas 3.2 hektar itu yang memiliki lebih 500 jenis herba dan rempah di Teluk Bahang di sini bergelut dengan masalah kewangan untuk meneruskan operasi sejak 18 bulan lalu, demi mengelak penutupan kekal.

Iklan
Iklan

Pemiliknya, Katharine Chua berkata, punca utama pendapatan taman itu diraih daripada penjualan tiket pelawat dan 70 peratus pengunjung adalah warga asing sebelum tercetusnya pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata sepanjang pandemik itu, Chua dan suami Kenneth Khoo terpaksa mengambil langkah terdesak, mengamalkan dasar penjimatan dengan memotong perbelanjaan TSG hanya cukup untuk menampung operasi pada kos minimum.

Iklan

"Taman kami kini hanya mempunyai beberapa orang sahaja pekerja dan kami terpaksa menamatkan banyak kontrak semata-mata untuk mengurangkan kos.

"Malah kami terpaksa menggunakan simpanan peribadi kami untuk membolehkan taman ini terus dibuka, kerana kami tidak akan dapat meneruskan operasinya sehingga hari ini jika kami tidak berbuat demikian,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Chua berkata, walaupun banyak melakukan pemotongan kos, TSG masih tetap memerlukan sekitar RM25,000 untuk menampung perbelanjaan bulanan keseluruhannya.

Untuk usaha terakhir, beliau melancarkan kempen Join The Family, Save The Garden melalui media sosial pada 1 Ogos dalam usaha untuk mendapatkan sokongan pembiayaan orang ramai.

Mereka yang sanggup memberikan sokongan kewangan kepada TSG boleh memilih untuk menyertai program keahlian bulanan Spice Fam, dengan tawaran RM25 sebulan di https://tsgspicefam.com/save-tsg atau membuat sumbangan terus kepada TSG.

"Program keahlian Spice Fam ini dilancarkan pada Oktober tahun lalu, iaitu ahli boleh menikmati pelbagai manfaat antaranya mengikut kelas secara maya dan bengkel, pas lawatan taman tanpa had (apabila dibuka kelak) dan juga pas perkhemahan bulanan,” katanya.

Walaupun pandemik ini masih berterusan, Chua berkata, mereka telah berusaha merombak model perniagaan TSG sebagai ruang komuniti, menyasarkan untuk memenuhi keperluan penduduk tempatan dan pelancong domestik yang berpotensi.

Beliau berharap dengan mewujudkan TSG sebagai ruang komuniti, ia bukan sahaja akan membentuk dan membina penglibatan antara masyarakat tempatan dan taman ekopelancongan itu, tetapi juga dapat memberikan sokongan kewangan yang lebih baik.

"Ia adalah anjakan paradigma yang besar bagi kami dan dan kami tidak menjangkakan sebarang perubahan besar dalam sekelip mata, tetapi kami berharap dapat menawarkan taman kami sebagai ruang komuniti yang menyeronokkan dan mampan untuk orang ramai dalam jangka masa panjang,” tambahnya. - Bernama