KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyeru rakyat di negara ini menolak anasir dan agenda negatif yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang ada kepentingan peribadi.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, rakyat sebaliknya perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara.
Beliau juga yakin semua berkongsi cita-cita iaitu mahu negara aman dan bebas daripada ancaman pandemik Covid-19.
"Dalam tempoh ini, rakyat perlu menolak semua anasir negatif yang bakal meruntuhkan kestabilan dan keamanan dan negara oleh pihak berkepentingan peribadi serta ada agenda sendiri.
"Selain itu, rakyat Kelantan juga digesa untuk terus memberi sokongan padu bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) terutamanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) supaya dapat mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam ucapan perasmian Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2021 pada Ahad.
Beliau selepas itu melancarkan program yang bertemakan Malaysia Prihatin di Kompleks Darul Naim, di sini.
Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Azahar Ismail.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai usaha menjaga kebajikan serta ekonomi rakyat seterusnya mengekalkan keadaan aman damai di negara ini.
"Bertepatan tema Malaysia Prihatin, rakyat seharusnya menunjukkan keprihatinan dalam bersama-sama terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
"Pada masa sama, bagi memupuk semangat patriotisme, kami menyeru rakyat Kelantan menyambut dan meraikan bulan Kemerdekaan ke-64 secara norma baharu,” katanya.
Sementara itu, Azahar berkata, kekangan tidak dapat berdepan secara fizikal tidak membataskan pihak JaPen Kelantan mengadakan sambutan Kemerdekaan negara dengan norma baharu.
"Tahun ini, pelbagai program dan pertandingan dirangka untuk diadakan secara maya antaranya bersajak, melukis mural dan bercerita bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan anak bangsa.
"JaPen Kelantan turut membuat hebahan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme selain melakukan kolaborasi dengan pusat pemberian vaksin (PPV) dalam melaksanakan program sempena bulan Kemerdekaan,” katanya.