HSB terima sumbangan mesin penafasan (HFNC)

Iklan
Shazana (dua, kiri ) menyerahkan mesin penafasan HFNC kepada Dr Ahmad Akashah (tiga,kiri) yang mewakili pihak HSB di Bilik Gerakan Bencana di sini pada Ahad.

ALOR SETAR - Perniagaan Mak Bee Utara (M) Sdn Bhd menyumbangkan satu unit mesin penafasan High Flow Nasal Cannula (HFNC) kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk kegunaan pesakit Covid-19 di daerah ini pada Ahad.

Pengarah Urusan Mak Bee Utara (M) Sdn Bhd, Shazana Mahazir, 35 memberitahu, mesin yang bernilai RM24,000 itu diberi hasil keuntungan syarikatnya.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, pihaknya merakamkan penghargaan kepada pelanggan kuah rojak Mak Bee yang sering menyokong perniagaan mereka dan berbesar hati menghulurkan sumbangan bagi membantu pihak hospital.

"Saya tergerak hati untuk turut sama menyumbang setelah melihat peningkatan kes Covid-19 dan kematian di negeri ini. Saya percaya pihak HSB sangat memerlukan mesin penafasan pada waktu-waktu sukar begini.

Iklan

"Alhamdulillah, atas bantuan beberapa orang rakan perniagaan saya akhirnya dapat mencari mesin terbabit untuk diserahkan kepada HSB hari Ahad," katanya.

Menurutnya, dia yang dalam proses menubuhkan Yayasan Kasih Mak Bee berhasrat untuk memperluaskan bantuan kepada masyarakat di luar sana.

Iklan

"Melalui yayasan ini lebih ramai golongan yang akan dibantu dan saya juga mengalu-alukan kerjasama daripada pihak lain untuk bersama- sama dalam usaha murni ini," katanya.

Sementara itu, wakil HSB, Dr Ahmad Akashah Mohamed Shariff berkata, mesin penafasan berkenaan sangat diperlukan oleh hospital pada ketika ini untuk memberi bantuan oksigen kepada pesakit.

"Kita memerlukan mesin ini sebanyak yang boleh, selagi ada yang menyumbang kita terima kerana pada ketika ini hospital banyak menerima pesakit tahap 5 yang memerlukan bantuan oksigen.

"Kepada mereka yang ingin menyumbang, boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana HSB. Insya-ALLAH setiap pesakit yang dapat dibantu melalui mesin ini akan mengalirkan pahala kepada penyumbangnya," ujar beliau.