Long Tiger didakwa ugut, kurung bekas pekerja

Iklan
Abdul Hamim Ab Hamid, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azahan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. - Foto Bernama

TANGKAK - Seorang lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas pertuduhan mengugut dan mengurung seorang bekas pekerjanya, bulan lepas.

Abdul Hamim Ab Hamid, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azahan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan warga tempatan, Luqman Hakeem Othman, 21, dengan tujuan hendak mendatangkan cedera parah dan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada mangsa.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Bapa seorang anak itu juga turut didakwa mengurung Luqman Hakeem mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di No, 169, Tingkat 1, Jalan Gambir 7, Bandar Baru Bukit Gambir di sini antara 6 petang dan 7.05 malam, 12 Julai tahun ini.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Nor Syamilah Jalaluddin sebelum itu mencadangkan tertuduh tidak dikenakan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius selain bimbang tertuduh akan mengganggu saksi dalam kes tersebut.

Namun, peguam Datuk Shaharudin Ali, Muhammad Hariz Md Yusof dan Muhammad Noor Azfar Noor Azmi yang mewakili Abdul Hamim memohon jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung seorang anak, isteri yang sedang hamil dan turut mempunyai masalah mental selain perlu menguruskan perniagaannya.

Wan Nur Fariha Najwa kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes.

Long Tiger sebelum ini menjadi bualan netizen kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi termasuk memfitnah pegawai polis melalui beberapa sesi siaran langsung di platform media sosial.

Difahamkan, dia turut akan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar pada petang Ahad atas pertuduhan merogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. - Bernama