TANJONG KARANG - Ketua Pemuda UMNO Tanjong Karang, Datuk Mohd Shahrizal Sahri membuat laporan polis selepas terdapat pihak menyamar menggunakan nama dan gambar beliau pada aplikasi WhatsApp yang kononnya menolak kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mohd Shahrizal berkata, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Tanjong Karang pada jam 6.15 petang Sabtu.
Menurutnya, tindakan pihak terbabit menggunakan identitinya itu tidak bertanggungjawab dan bertujuan menjatuhkan reputasi dan maruah beliau sebagai ketua sayap pemuda parti di bahagian berkenaan.
"Saya membuat laporan polis ini bagi memastikan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat perkara ini kerana ia jelas berniat jahat dan fitnah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Selain itu, beliau juga bimbang pihak terbabit menggunakan identitinya untuk melakukan jenayah yang melanggar undang-undang negara.
"Saya menafikan nombor telefon terbabit milik saya dan menyifatkan pihak terbabit rasa kurang senang dengan perpaduan UMNO Bahagian Tanjong Karang," katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar kesal tuduhan pihak tidak bertanggungjawab terbabit.
"Semalam (Sabtu), secara tiba-tiba keluar surat yang menggunakan nama Ketua Pemuda UMNO Tanjong Karang yang mengatakan pemuda UMNO bahagian ini tidak bersetuju dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) seolah olah memberi gambaran UMNO Tanjong Karang sudah ada perpecahan.
"Saya ingin tegaskan bahawa UMNO Bahagian Tanjong Karang 100 peratus menyokong keputusan MKT UMNO dan menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.
Justeru katanya, beliau berterima kasih kepada Mohd Shahrizal yang menafikan perkara itu dan telah membuat laporan polis kepada pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya memberi jaminan apa juga keputusan UMNO Bahagian Tanjong Karang, saya tidak buat bersendirian sebaliknya akan merujuk kepada bahagian terlebih dahulu," katanya.
Tular di aplikasi WhatsApp dan Facebook menggunakan identiti Mohd Shahrizal kononnya menolak kepimpinan Ahmad Zahid.