SHAH ALAM - Pengguna pelitup muka di negara ini disarankan berhati-hati daripada menggunakan produk pelitup muka tiruan yang menyalahgunakan jenama Neutrovis sejak beberapa bulan lalu.
Hal ini disebabkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan bantuan syarikat pelitup muka berkenaan, Maystar Beauty Sdn Bhd, berjaya mematahkan sindiket pengedar pelitup muka palsu dan merampas produk itu bernilai RM60,000 di Johor, baru-baru ini.
Rampasan produk tiruan itu telah dilaksanakan KPDNHEP melalui satu operasi di mana tiga lokasi produk berkenaan diedarkan di sekitar negeri Johor telah diserbu.
Mengulas serbuan itu, pemilik produk pelitup muka jenama Neutrovis, Zayn Puah berkata, pihaknya menerima aduan daripada pelanggan mengenai produk pelitup muka syarikat itu yang didapati palsu.
Susulan itu, beliau mendedahkan penemuan produk tiruan itu telah mendorong syarikat terbabit untuk membuat siasatan sebelum mengenal pasti produk pelitup muka Neutrovis tiruan kini berleluasa di pasaran tempatan.
"Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk melaporkannya kepada KPDNHEP. Kedua, kami bertemu dengan peguam dan telah mendapatkan injuksi mahkamah.
"Tindakan ini membolehkan mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pengedar pelitup muka palsu," kata Puah pada Sabtu.
Phua turut menjelaskan produk pelitup muka tiruan yang menggunakan jenama Neutrovis itu belum menjalani sebarang ujian oleh Medical Device Authority (MDA) dengan bahan digunakan juga tidak dapat dikenal pasti.
Jelas beliau lagi, pengguna telah membuat aduan mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan wajah pengguna mula berjerawat ketika menggunakan pelitup muka tiruan itu.
"Tambahan pula, pengguna produk tiruan berkenaan mungkin terdedah kepada bahaya Covid-19 dan berfikir mereka sebenarnya melindungi diri sendiri dan juga orang lain.
"Penggunaan pelitup muka tiruan ini dapat menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan pengguna dan mereka yang di sekelilingnya. Justeru, tindakan pantas harus diambil untuk membendungnya," katanya.
Susulan serbuan berkenaan, Puah menegaskan syarikatnya telah melaksanakan beberapa penambahbaikan serta melampirkan pelekat pengesahan dengan kad QR pada semua produk pelitup muka jenis empat lapis.
Malangnya, beliau mengakui usaha untuk memerangi produk tiruan pelitup muka Neutrovis di pasaran mungkin akan mengambil masa yang agak lama kerana masih ada pengedar lain yang tidak bertanggungjawab yang masih beroperasi.
"Bagi mengelakkan diri anda tertipu, apabila anda membeli pelitup muka Neutrovis jenis empat lapis, pastikan anda periksa pelekat pengesahan yang ada di kotak. Itu adalah perkara yang sangat penting,” kata Puah lagi.