Enam penjawat awam 'lalok' ketika ditahan

Iklan
Ayob Khan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas hasil serbuan di sebuah pusat hiburan di Johor Bahru pada Jumaat.

JOHOR BAHRU- Enam penjawat awam antara 68 individu ditahan ketika sedang khayal disyaki mengambil dadah di sebuah pusat hiburan di sekitar bandar raya ini pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan kira- kira jam 1.30 pagi itu menahan 44 lelaki dan 12 wanita tempatan serta 13 warga asing.

Iklan
Iklan

"Sewaktu ditahan, enam penjawat awam berusia 26 hingga 43 tahun itu sedang khayal, leka berhibur dan mengambil minum keras serta dadah.

"Saya difahamkan mereka ini pernah ditahan di bawah kesalahan berkaitan dadah. Dua daripada mereka pernah ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Iklan

"Saya harap selepas ini, mereka (penjawat awam) yang terlibat dengan kes- kes dadah tidak diberikan peluang, kerana di luar ramai lagi yang hendak kerja," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Ahad.

Menurut Ayob Khan, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dikenali dengan panggilan 'doktor' yang merupakan pembekal dadah ke pusat- pusat hiburan turut ditahan dalam serbuan itu.

Iklan

"Susulan penahanan 'doktor' itu, polis berjaya menangkap dua lelaki tempatan berusia 31 hingga 38 tahun bersama sejumlah rampasan dadah.

"Semakan rekod mendapati pusat hiburan yang beroperasi 24 jam itu tidak mempunyai lesen hiburan yang sah dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Tambah beliau, dalam serbuan itu polis merampas 2.46 kilogram serbuk ekstasi, 45 biji pil ekstasi, 27 biji pil eramin, 10.50 syabu, 27 gram ganja dan 1 gram ketamin selain menyita sebuah kereta BMW dengan nilai keseluruhan RM297,857.

"Hasil saringan air kencing mendapati 41 individu positif dadah jenis ampethamine, methamphetamine dan ketamin.

"Kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam (Sabtu) hingga 12 Ogos ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya, Akta Imigresen, Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor dan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," katanya.