ALOR SETAR - Bekalan darah di Kedah kini di tahap kritikal dan dijangka mampu bertahan kurang daripada empat hari.
Ketua Perkhidmatan Transfusi Negeri Kedah, Dr Siti Nadiah Abdul Kadir berkata, perkara tersebut disebabkan oleh kurangnya penderma yang tampil untuk menderma darah di lokasi-lokasi pendermaan akibat peningkatan kes pandemik Covid-19.
Menurutnya, walaupun pembedahan elektif telah ditangguh pada masa kini, namun penggunaan darah masih kekal tinggi.
"Terdapat penurunan sebanyak 30 ke 40 peratus kutipan darah semenjak 'total lockdown' dan Pelan Pemulihan Negara dilaksanakan sejak 1 Jun 2021. Ini berkemungkinan disebabkan oleh sekatan pergerakan dan kebimbangan orang ramai mengenai kenaikan jumlah kes harian Covid-19 di Kedah akhir - akhir ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, bekalan darah masih terus diperlukan kerana masih ada kes-kes yang melibatkan kemalangan jalan raya, ibu tumpah darah semasa bersalin, pesakit yang menjalani pembedahan kecemasan dan separa kecemasan.
Jelasnya, terdapat juga pesakit yang memerlukan darah secara berterusan seperti pesakit talasemia dan anemia kronik seperti pesakit kanser darah.
"Saya ingin menyeru orang ramai agar tampil menderma darah dengan segera bagi memastikan perawatan pesakit-pesakit yang memerlukan transfusi darah tidak terjejas.
"Unit pendermaan darah sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan penyebaran Covid-19 seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka di premis pendermaan, mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, kawalan jumlah penderma di unit pendermaan agar tidak terlalu sesak dan melakukan proses sanitasi secara berkala ke atas kerusi dan katil penderma darah," ujarnya.
Tambahnya, orang ramai juga tidak perlu risau untuk keluar kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kebenaran pergerakan penderma darah ke lokasi pendermaan di daerah yang sama.
Orang ramai yang berminat untuk menderma darah dijemput hadir ke Unit Pendermaan Darah, Hospital Sultanah Bahiyah dan unit pendermaan darah di hospital-hospital seluruh negeri Kedah.
Untuk pertanyaan lanjut atau ingin mengetahui jadual derma darah terkini, sila hubungi Pegawai Penerangan Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Sultanah Bahiyah di talian 04-774 6051 (waktu bekerja) atau layari laman Facebook Derma Darah Kedah Perlis - DDKP.