JOHOR BAHRU - Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan menerima Anugerah Tokoh Penggiat Sastera Johor menerusi Anugerah Sastera Johor ke-12 yang diadakan secara maya, di sini pada Ahad.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, anugerah tersebut membuktikan kerajaan negeri mengiktiraf sumbangan serta jasa penggiat karyawan dan penulis yang ada di negeri ini.
"Penganugerahan ini berkat usaha dan konsistensi beliau dalam perjuangan mengangkat dan memartabatkan bahasa Kebangsaan, tanpa mengira konteks perubahan," katanya berucap merasmikan Anugerah Sastera Johor ke-12.
Pengiktirafan itu katanya, secara langsung membuka peluang lebih besar kepada karyawan dan penulis untuk mengetengahkan bakat serta kualiti penulisan masing-masing.
"Kita sedang melalui tahun-tahun yang mencabar akibat pandemik Covid-19 yang melanda bukan hanya negara kita tetapi seluruh dunia sejak lebih setahun lalu.
"Antara cabarannya adalah dari aspek kesihatan, ekonomi dan pelaburan, pendidikan tidak terkecuali termasuk juga aspek pembangunan sosial serta masyarakat," katanya berucap merasmikan Anugerah Sastera Johor ke-12.
Beliau yakin walaupun dalam keadaan pandemik, golongan karyawan masih mempunyai ilham serta idea yang bernas bagi melahirkan sebanyak mungkin karya kreatif, kritis dan berkualiti.
Sementara itu, beliau menyeru golongan muda untuk menjadikan bidang penulisan sebagai platform menyampaikan serta meluahkan hasil karya yang kreatif dan kritis.
"Gunakanlah kecanggihan teknologi dan keupayaan masa kini untuk menyampaikan pengajaran yang baik kepada masyarakat khususnya ketika kita mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang belum lagi berpenghujung," katanya.