UMNO digesa bijak tangani kemelut dalaman, jangan berpecah

Iklan
Gambar kecil: Mat Nadzari Ahmad Dahlan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kemelut dalaman UMNO perlu ditangani dengan bijak bagi mengelakkan perpecahan dan kehilangan ahli yang lebih ramai.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, sekalipun UMNO tidak sehaluan dengan keputusan dan pendirian rakan-rakan dalam kerajaan, imej parti tersebut tidak boleh dipalitkan dengan gambaran ‘pertelagahan elit politik’ yang menyebabkan rakyat menjadi bosan.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor berkata, watak ugut-mengugut dan tekan-menekan sesama sendiri adalah tidak elok kerana ia mengukuhkan persepsi umum bahawa UMNO bersifat ‘Abang Besar’ dalam arena politik di Malaysia.

"UMNO tidak harus ditafsir melanggar sumpah setianya mengikut Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO yang mendukung dan mempertahankan Raja Berperlembagaan serta kebesaran Raja-raja yang dikibarkan bersama warna kuning di dalam bendera parti itu.

Iklan

"UMNO juga tidak harus nampak bercanggah dengan Fasal 3.2 perlembagaannya untuk mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

"UMNO perlu bersabar dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar keabsahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditentukan oleh Dewan Rakyat pada September ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, Mat Nadzari berkata, UMNO tidak boleh dilihat meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan rakyat mengikut lunas-lunas Fasal 3.4 Perlembagaan UMNO bahawa rakyat didahulukan.

Ujarnya, menteri-menteri UMNO yang terlibat harus diberi masa menyudahkan tanggungjawab untuk rakyat dan negara yang terjejas dengan wabak Covid-19.

Selain itu, UMNO tidak boleh dilihat sebagai kurang tertib dan gopoh jika menteri-menteri UMNO dalam kabinet kerajaan meletakkan jawatannya secara ‘abrupt’ dan meninggalkan tugas-tugas penting melawan Covid-19.

"Sediakanlah pelan pemulihan hala tuju UMNO dengan kerangka dan peranan yang lebih jelas yang mudah difahami, dicontohi serta diikuti serta dilaksanakan mengikut hak-hak ahli dalam perlembagaan UMNO.

"Imej dan kredibiliti UMNO akan lebih hebat di mata rakyat sekiranya mampu menyelesaikan kemelut dalaman ini dengan baik," katanya.