SHAH ALAM - Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menggagalkan cubaan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk meloloskan diri keluar dari negara ini di kawasan kebun sawit Jalan Parit 5, Kampung Baru, Sekinchan, di sini pada Sabtu.
Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua PATI itu ditahan pada jam 8.30 malam ketika melakukan rondaan di kawasan berkenaan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai ingin keluar dari negara ini melalui laluan laut yang tidak diwartakan menggunakan bot.
"Difahamkan lapan PATI ini membayar sebanyak RM600 setiap seorang kepada seorang warga tempatan untuk keluar dari negara ini.
"Kita sedang mengenal pasti warga tempatan yang terlibat dalam kegiatan ini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Rizal berkata, semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Sekinchan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Semua individu yang ditahan akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas," katanya.