Saman jika gagal perbaharui lesen bermula 1 Oktober: JPJ

Iklan
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim (tiga dari kanan) turun padang membantu golongan terjejas Covid-19 menerusi agihan 150 kotak makanan di Kota Bharu, Kelantan. - Foto: JPJ

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengenakan kompaun dan saman terhadap pengguna jalan raya yang gagal memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM), lesen memandu Malaysia (LMM) dan lesen vokasional (GDL/PSV) bermula 1 Oktober ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan sebanyak tiga kali lanjutan dilihat memadai.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tiba masanya pematuhan terhadap undang-undang dikuatkuasakan semula selepas penamatan moratorium bagi pelanjutan pembaharuan lesen.

"Jika masih ada yang belum memperbaharui lesen sehingga 30 September ini, mereka akan dikenakan tindakan saman serta kompaun dan boleh dituduh di bawah Seksyen 26(1) serta 23(1) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Iklan

"Tidak kira apa kenderaan yang dimiliki, pemandu harus ada dokumen penting yang sah,” katanya ketika sidang akhbar di Terminal Bas Lembah Sireh di sini pada Ahad.

Beliau sebelum itu mengagihkan 150 kotak makanan menerusi Program JPJ Prihatin dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kepada pemandu lori, pengusaha bas sekolah, bas henti-henti, bas ekspres, bas persiaran dan kereta sewa yang terkesan Covid-19.

Iklan

Hadir sama, Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf.

Zailani berkata, JPJ menjalinkan kerjasama dengan Pos Malaysia Berhad bagi memudahkan urusan orang ramai untuk memproses pembaharuan lesen bermula Isnin.

"Kaunter pejabat pos turut dibuka pada hujung minggu dan mereka yang ingin berurusan perlu membuat janji temu terlebih dahulu.

"Kita harap tidak wujud kluster pos kerana banyak platform disediakan dan jika ada yang datang secara terus sekalipun, mereka perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.