Long Tiger tidak mengaku salah rogol wanita

Iklan
Long Tiger didakwa merogol wanita berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak pada 26 September 2019. - Foto Bernama

MUAR - Seorang lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Long Tiger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita, dua tahun lepas.

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Amran Jantan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa merogol wanita berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak antara 1 tengah hari hingga 2.05 petang, 26 September 2019.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Amran membenarkan Abdul Hamim diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin dan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ummi Amyra Natasha Azhar dan Muhammad Azfar Mahmod manakala Abdul Hamim diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali, Muhammad Hariz Md Yusof dan Muhammad Noor Azfar Noor Azmi.

Terdahulu, Abdul Hamim turut didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas pertuduhan mengugut dan mengurung seorang bekas pekerjanya, bulan lepas dan dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Long Tiger sebelum ini menjadi bualan netizen kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi termasuk memfitnah pegawai polis melalui beberapa sesi siaran langsung di platform media sosial. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Long Tiger didakwa ugut, kurung bekas pekerja