SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suri rumah, Asiah Halim, 34, memanfaatkan sumbangan RM2,500 melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dalam program Talian Jiwa untuk membayar sebahagian hutang dan modal untuk berniaga.
Beliau dari Meru, Klang, berkongsi cabaran kehidupan akibat terkesan pandemik Covid-19 di Talian Jiwa yang bersiaran di Astro Oasis, 23 Julai lalu.
"Saya mengambil langkah yang berani untuk berniaga di Tapak Pasar Malam Setia Taipan, Setia Alam, bermula 7 Ogos 2021, dari pukul 2 petang hingga ke malam setiap hari.
"Antara produk yang dijual seperti otak-otak, lokceng dan rojak buah. Dengan duit sumbangan tersebut saya telah membeli barang tersebut termasuk kanopi.
"Harapan saya duit modal tersebut dapat mengembangkan perniagaan apabila berniaga di tapak jualan. Ia lebih dekat dengan pelanggan. Ini pengalaman pertama saya berniaga di tempat awam.
"Pada masa sama, saya perlu menitikberatkan penjagaan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan pandemik Covid-19. Sebelum ini, saya berniaga muruku dan ketupat di rumah. Pendapatan bulanan beliau boleh mencapai RM1,000 seminggu ketika itu. Tapi sejak musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, perniagaan di rumah terjejas sehingga memperolehi RM200 sebulan.
"Tambahan pula suami saya, Mohtar Tafakol, 54, yang bekerja sebagai kontraktor tidak bekerja kerana operasi pembinaan dihentikan di sepanjang musim PKP. Dengan berniaga secara kecil-kecilan ini, saya dengan bantuan suami dapat menampung perbelanjaan harian keluarga.”
Ibu kepada enam anak ini bersyukur kerana mendapat bantuan sebanyak RM650 sebulan dari Pusat Zakat Selangor. Namun beliau dan suaminya perlu berusaha bagi menampung bayaran rumah, kereta, bil dan barangan anak kecil yang berusia dua tahun.
Bagi sesiapa yang memberi sokongan dan membeli produk otak-otak, sate ikan dan muruku Asiah, boleh berhubung melalui WhatsApp di www.wasap.my/601121785709. Untuk maklumat lanjut mengenai produk yang dijual boleh lawati Facebook Asiah Halim.
Program Talian Jiwa anjuran oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama Astro Oasis dan Sinar Harian, bersiaran di saluran 106 @ Astro Oasis pada setiap Khamis, pukul 6 petang. Ia bertujuan untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan berpandukan al-Quran dan Hadis.
Program yang dihoskan oleh Zainal Ariffin Ismail bersama Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail sebagai pentadabbur. Setiap episod Talian Jiwa menampilkan Tokoh jemputan untuk berkongsi pandangan dan memberi pencerahan bagi isu yang dikongsikan oleh dua pemanggil yang terpilih pada hari tersebut.
Bagi mereka yang memerlukan bantuan boleh daftar di https://bit.ly/PenerimaBantuanTV2021