LIONEL Messi tidak menolak kemungkinan akan menyertai kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG) selepas meninggalkan Barcelona.
Bagaimanapun, dia masih tidak boleh memberikan pengesahan mengenai perkara tersebut sehingga ada sebarang pengumuman dibuat.
"Ada kemungkinan (sertai PSG). Tetapi, buat masa sekarang saya tidak mencapai persetujuan dengan mana-mana pasukan lagi.
"Semasa kenyataan media mengenai saya akan tinggalkan Barcelona, saya menerima banyak panggilan dan kami bercakap mengenai banyak perkara,” katanya dalam sidang media pada Ahad.
Messi meninggalkan Barcelona selepas gergasi bola sepak Sepanyol itu gagal memberikan kontrak baharu kepadanya atas kekangan kewangan.
Dalam pada itu, Messi mengakui ia sesuatu yang amat sukar untuk memilih meninggalkan Barcelona selepas bersama pasukan itu sejak 2004.
"Ini adalah pengakhiran saya di kelab ini dan sekarang kisah baharu akan bermula. Meninggalkan Barcelona menjadi detik paling sukar buat saya.
"Tahun lepas saya mahu meninggalkan kelab ini, tetapi tahun ini saya mahu kekal di sini. Kerana itu saya sangat sedih,” katanya.