KEJAYAAN jaguh basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat perak menerusi acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, membawa semangat satu hati rakyat Malaysia yang bersama meraikan kemenangan itu.
Menerusi hantaran di Twitter, kejayaan Mohd Azizulhasni yang diberi gelaran The Pocket Rocketman dikongsi pemimpin politik tanah air, disusuli dengan ucapan tahniah dan penghargaan di laman Twitter.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam hantarannya berkata:"Setinggi tahniah Datuk @AzizulAWANG! We are all proud of you!".
Turut berbangga dengan kejayaan atlet negara itu, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
"Tipulah tak sebak & bangga tengok pecutan bertenaga Datuk @AzizulAWANG di final tadi. TERIMA KASIH & TAHNIAH Jijoe!! Walaupun belum rezeki menang emas, perjuangan #DemiMalaysia yang menghadiahkan pingat perak tetap amat besar nilai & maknanya serta akan dihargai sampai bila-bila!,” kata Hishammuddin.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan kesyukuran atas kemenangan Mohd Azizulhasni, 33, yang merupakan anak jati Terengganu.
"Alhamdulillah dan TAHNIAH to our Silver medallist Datuk @AzizulAWANG ! POCKET ROCKETMAN,” menurut Mohamed Azmin dalam Twitternya.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ucapannya menzahirkan:"Tahniah kepada Datuk @AzizulAWANG kerana berjaya memenangi pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi. You did your best!".
Turut senada, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menerusi catatannya:"Pingat Perak! Tahniah Pocket Rocketman Dato' Azizulhasni Awang! Anda hebat! Jalur Gemilang akan berkibar lagi di Tokyo 2020”
Dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik, Mohd Azizulhasni melintasi garis penamat untuk pingat perak, meleburkan harapannya memenangi pingat emas Olimpik pertama bagi Malaysia.
Dalam perlumbaan itu, penyandang juara Jason Kenny dari Britain meraih pingat emas manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen, merangkul pingat gangsa. - Bernama