SETIAP tahun, hari kenegaraan ini disambut seluruh rakyat dengan penuh kebanggaan dan semangat patriotik.
Kempen mengibarkan Jalur Gemilang saban tahun diperhebatkan bagi memastikan semangat patriotik dalam kalangan rakyat kekal segar selepas 64 tahun negara merdeka.
Ini merupakan tahun kedua menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana melawan musuh tidak kelihatan, Covid-19 yang diumumkan sebagai pandemik pada Mac tahun lalu.
Dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan, seluruh rakyat di negara ini berdepan dengan pelbagai isu seperti soal keselamatan kesihatan, ekonomi dan ketidakstabilan politik.
Berdasarkan kepada data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad, sebanyak 18,688 kes positif dilaporkan dengan jumlah kumulatif ialah sebanyak 1.262 juta kes dilaporkan.
Begitu juga dengan jumlah kematian kini telah mencatatkan lebih daripada 10,000 kes disebabkan Covid-19.
Timbul tanda tanya sampai bila kita perlu ‘berperang’ dengan virus ini dan bilakan kita akan kembali bebas sama seperti sebelumnya.
Mungkin juga ada sinar bagi penduduk dunia selepas 90 peratus populasi menerima suntikan vaksin dan badan bersedia untuk melawan Covid-19.
Setakat 7 Ogos, 66.4 peratus populasi dewasa Malaysia telah menerima dos pertama vaksin manakala 36.3 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan.
Bagi rakyat Malaysia, Pengumuman Khas Perdana Menteri bagi kemudahan-kemudahan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap merupakan sebahagian kecil ‘kemerdekaan’ yang diinginkan.
Politik
Tidak hanya berdepan dengan Covid-19 yang menggerunkan, rakyat juga terpaksa berdepan dengan ketidakstabilan politik selepas keabsahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa hilang majoriti.
Kemelut berlaku selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa mengumumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sebulat suara menarik sokongan kepada Muhyiddin dan PN.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 perlembagaan parti.
Jelasnya, kenyataan terbaharu perdana menteri tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas menyanggah titah Seri Paduka dan mempersendakan baginda yang sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahas serta diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi, bukan September 2021, sejajar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
Bagi rakyat Malaysia, sudah pasti konflik politik berterusan dalam suasana pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang diinginkan kerana keutamaan pada masa ini ialah bagi melandaikan lekuk Covid-19, memastikan setiap orang di negara ini tidak kelaparan, membolehkan semua sektor kembali berfungsi agar tidak ada pekerja yang dibuang dan kehilangan sumber pendapatan.
Politik di Malaysia bagaikan tidak boleh berehat seketika. Siang dan malam ceritanya adalah politik biarpun kes positif harian serta jumlah kematian angkara Covid-19 terus meningkat.
Cukup sukar bagi pemimpin politik baik daripada kerajaan mahupun pembangkang duduk semeja mencari titik temu dalam mendepani cabaran pada masa kini.
Rakyat cukup muak dengan tindak-tanduk pemimpin politik ini kerana mereka dilihat hanya mempunyai kepentingan peribadi berbanding rakyat.
Perlu diingatkan ada isteri kehilangan suami, ada anak kehilangan ibu, ada keluarga mengikat perut dan ada datuk yang merindui cucunya. Sepatutnya hentikan segala politiking sehingga situasi Covid-19 kembali pulih.
Mereka memerlukan ‘kemerdekaan’ daripada Covid-19, masalah ekonomi yang membelenggu institusi keluarga dan kisah politik yang memualkan. Cukup-cukuplah biarkan rakyat menderita.
* Mohd Hafiz Ismail ialah wartawan Sinar Harian