KETUA Jurulatih UiTM FC, Reduan Abdullah menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Perak FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu satu pencapaian membanggakan buat skuad The Lions itu musim ini.
Justeru menurut Reduan, kemenangan berkenaan diharap dapat menyuntik semangat The Lions itu untuk terus melakar kemenangan pada baki saingan musim ini.
"Secara keseluruhannya, saya menyifatkan kemenangan ini sebagai satu kemenangan bermakna buat UiTM FC dan sekali gus diharap memberikan suntikan moral kepada pemain.
"Ini kerana kita tidak dapat memenangi banyak perlawanan sebelum ini. Bagaimanapun bagi saya, perlawanan ini sengit dan kita terpaksa bekerja keras untuk mencapai kemenangan.
"Pada pemerhatian saya Perak FC juga telah bekerja keras juga untuk mencapai kemenangan dengan kita, tetapi kita berjaya memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Kemenangan berkenaan bagaimanapun tetap menyaksikan UiTM FC berada pada tangga tercorot liga ketika ini setelah hanya mengumpul lima mata daripada 17 perlawanan.
Mengenai aksi berdepan Melaka United FC pada Jumaat ini, Reduan menegaskan pihaknya akan cuba memberikan aksi terbaik bagi mencatatkan kemenangan kedua buat UiTM FC, musim ini.
Katanya, mungkin beberapa perubahan akan terpaksa dibuat bagi mengimbangi kekuatan pasukan bagi mengharungi perlawanan berkenaan.
"Kita akan tengok kekuatan Melaka United FC juga kerana kita tengok persembahan mereka semakin baik selepas kehadiran pemain-pemain baharu, terutamanya pemain import.
"Kita juga akan tengok taktikal dia dan kita akan cuba atasi pada aksi sebenar nanti,” katanya.