GOMBAK - Seorang ibu bersama empat anaknya terpaksa berkongsi makan mi segera bagi mengisi perut mereka yang kelaparan.
Kes tersebut dilaporkan berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia.
Kesukaran hidup wanita dipanggil Puan Farah itu dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Facebok beliau pada Ahad.
Menerusi perkongsian itu, Zulkifli berkata, telah ke rumah wanita tersebut bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Setiausaha MAIWP dan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP untuk salurkan bantuan.
Menurutnya, Farah menguruskan anaknya berusia dua hingga 6 tahun bersendirian selepas suaminya ditahan kerana menagih dadah.
"Alhamdulillah, MAIWP telah luluskan beberapa skim bantuan kepadanya sekeluarga disamping wang tunai.
"Gembira anak-anaknya dapat merasa susu formula yang lebih sesuai dan berkhasiat.
"Saya doakan semoga Puan Farah terus tabah.
MAIWP dan para pembayar zakat sentiasa ada bersama-sama puan. Insya- ALLAH anak-anak ini semuanya akan berjaya," menurut kenyataan pada Ahad.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat dan bantuan yang disalurkan itu adalah amanah pembayar yang Baitulmal tunaikan.