SYARIKAT konglomerat yang terkenal di Malaysia, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd (Kumpulan Naza) kini sedang melalui proses transformasi syarikat bertujuan mempertingkatkan fokus perniagaan yang melibatkan pelupusan strategik bagi melakar hala tuju pertumbuhan baharu.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, usaha ke arah transformasi kumpulan tercetus dua tahun lalu berikutan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemunculan wabak Covid-19 pada awal tahun 2020 telah mendesak supaya pelan transformasi syarikat serta rombakan semula Kumpulan Naza secara keseluruhan dipertingkatkan.
"Pelan transformasi ini yang dikenali sebagai NAZA2.0 melibatkan penilaian perniagaan teras secara mendalam, penyusunan semula portfolio, dan strategi dan hala tuju masa depan sebagai sebuah Kumpulan yang lebih lean dan teratur, untuk kemampanan jangka panjang.
"Pelan transformasi NAZA2.0 bermula sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP1.0) dilaksanakan kerajaan pada Mac 2020 lagi.
Kumpulan Naza berjaya menggerakkan inisiatif tersebut serta mengharungi pelbagai cabaran semasa di sebalik kekangan ‘lockdown’,” katanya.
Beliau berkata, pelan NAZA2.0 dijalankan tepat pada waktunya kerana strategi tersebut telah membolehkan Kumpulan Naza lebih bersedia menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi ketika PKP3.0 ketika ini.
"Apa yang kami harap dapat dicapai daripada transformasi ini adalah struktur yang kukuh, dengan ketangkasan untuk memastikan kelestarian mengharungi cabaran ekonomi kini.
"Ketangkasan baharu yang diharapkan ini bakal melibatkan strategi dan hala tuju bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kos dalam semua aspek perniagaan.
Ia juga melibatkan penambahan nilai serta menghindar ‘pertindihan’ fungsi,” katanya.
Relevan
Beliau berkata, setelah mencatat pelbagai pencapaian sepanjang 46 tahun, inisiatif transformasi NAZA2.0 menjadi tonggak hala tuju menjelang separuh abad penglibatannya dalam dunia perniagaan.
"Dorongan strategik syarikat menghala kepada pemantapan struktur Kumpulan bagi tempoh lima tahun akan datang di samping mengenal pasti misi yang lebih bermakna.
"Ini akan mencorakkan pertumbuhan baharu dan penyusunan semula sektor teras supaya lebih bersedia menghadapi perubahan dan market disruptions, bagi mencatat kedudukan kewangan lebih baik,” katanya.
SM Nasarudin berkata, NAZA2.0 diterajui Jawatankuasa Transformasi yang dianggotai penasihat berpengalaman dari pelbagai industri, beberapa ahli lembaga pengarah Kumpulan dan sebuah firma audit, untuk memastikan penilaian syarikat dijalankan secara telus dan terbuka.
"Ini adalah aspek penting untuk memastikan keputusan dapat dibuat tanpa dipengaruhi sentiment pemegang saham syarikat.
"Pelan NAZA2.0 boleh diumpamakan seperti strategi"Merger & Acquisition (M&A)” yang melibatkan pelupusan syarikat yang tidak membawa keuntungan serta proses ‘right-sizing’ organisasi untuk menyokong pertumbuhan baharu,” katanya.
Kata SM Nasarudin, pelan transformasi itu bertujuan memastikan Kumpulan Naza tetap relevan dan mampu mengharungi cabaran perniagaan global.
"Transformasi ini turut melibatkan penilaian bisnes teras secara menyeluruh dan merasionalisasi portfolio perniagaan serta mengenalpasti hala tuju syarikat agar lebih lean dan optimum,” katanya.
Beliau berkata, NAZA2.0 perlu tangkas membangunkan strategi dan hala tuju bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kos dalam kesemua perniagaannya, mencipta nilai, dan menghapuskan redundancies untuk menjadi lebih efisien demi kelangsungan jangka masa panjang.
Fokus
Menurut SM Nasarudin, transformasi NAZA2.0 menyaksikan peralihan Kumpulan daripada struktur kepelbagaian perniagaan yang kini merangkumi beberapa sektor, kepada struktur yang lebih fokus empat perniagaan tonggak iaitu hartanah dan pembinaan, pengurusan aset, automotif niche premium dan lain-lain perniagaan.
"Daripada empat perniagaan tonggak ini, pembangunan hartanah dan pengurusan aset akan menjadi sektor utama yang bakal diberi tumpuan, memandangkan nilai aset yang di kendalikan oleh Kumpulan NAZA berjumlah hampir RM3 bilion dan mempunyai potensi memberi pulangan yang tinggi.
"Kumpulan NAZA juga akan melabur semula dalam perniagaan teras yang menghasilkan pendapatan tetap dan berpotensi memberi pulangan yang tinggi dengan kadar keuntungalebih baik, seperti bisnes hartanah,” katanya.
Beliau berkata, Naza TTDI adalah jenama tersendiri Naza. Ia adalah sebuah syarikat pembangunan hartanah butik yang berpotensi tinggi manakala KL Metropolis adalah game changer bagi Naza TTDI dan mereka sedang berusaha mempercepatkan pembangunannya.
"Sebanyak enam projek yang telah dikenal pasti akan dilancarkan dalam masa tiga tahun lagi dengan pendapatan kasar sebanyak RM3.7 bilion, dan daripada dua projek berikut adalah KL Metropolis.
"KL Metropolis akan menjadi Pusat Dagangan dan Pameran Kuala Lumpur sehaluan dengan hala tuju meletakkan Malaysia sebagai tempat tumpuan utama bagi mesyuarat, insentif, persidangan dan acara,” katanya.
Transformasi ini juga jelas beliau akan menyaksikan perubahan kepada pendekatan NAZA dalam sektor automotif.
"Walaupun sektor ini akan kekal sebagai sebahagian bisnes Kumpulan, ia tidak lagi menjadi perniagaan teras.
Syarikat telah memulakan inisiatif transformasi dalam bidang automotif dengan memberi tumpuan utama untuk menjadi untuk pengedar rasmi automotif Jepun berjenama Suzuki,” katanya.
Sehubungan itu, Naza Automotive Group meraih keuntungan sebanyak RM700 juta tahun in berbanding RM600 juta tahun lalu.
"Tumpuan juga diberikan kepada segmen niche mewah dan ekslusif yang menguntungkan dalam segmen niche,” katanya.