Kuiz Pelaburan PNB kembali lagi

Iklan
Mohammad Hussin

SHAH ALAM – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi syarikat pengurusan unit amanahnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) meneruskan lagi penganjuran kuiz tahunannya, Kuiz Pelaburan PNB 2021 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM68,500 bermula Isnin.

PNB dalam satu kenyataan memaklumkan, tempoh kuiz bagi kategori remaja berumur 13 hingga 17 tahun ialah mulai 9 hingga 22 Ogos, manakala penyertaan untuk kategori umum bagi golongan berusia 18 tahun dan ke atas bermula dari 16 hingga 31 Ogos 2021.

Iklan
Iklan

Penyertaan untuk kuiz itu adalah secara dalam talian di laman web ASNB (www.asnb.com.my) dan semua maklumat, soalan dan artikel berkaitan Kuiz Pelaburan PNB juga akan dimuat naik di laman web tersebut.

"Kuiz ini menguji peserta mengenai konsep utama pelaburan dan perancangan kewangan melalui pendekatan hibur didik bagi kategori remaja dan umum dengan hadiah keseluruhan bernilai RM68,500.

Iklan

"ASNB ialah syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB yang ditugaskan untuk melaksanakan inisiatif literasi kewangan dengan menumpukan usaha membangunkan masyarakat yang lebih bijak mengenai pelaburan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, kuiz yang bertemakan ‘Capai Kemerdekaan Kewangan’ sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia itu mengemukakan soalan-soalan berkaitan pelaburan dan pengurusan kewangan.

Iklan

"Konsep soalan tahun ini adalah berbeza berbanding tahun lalu dan boleh dikatakan lebih mencabar kerana peserta hanya diberikan petunjuk dan bayangan jawapan, bukannya soalan objektif dengan pilihan jawapan A, B atau C,” katanya.

Beliau berkata, semua soalan untuk Kuiz Pelaburan PNB akan disiarkan selama lima hari berturut-turut di akhbar Sinar Harian dan Berita Harian yang mana bagi kategori remaja, tarikh terbitan ialah dari 9 hingga 13 Ogos, manakala untuk kategori umum, tarikh terbitan ialah pada 16 hingga 20 Ogos.

"Peserta disarankan untuk merujuk artikel yang diterbitkan kedua-dua akhbar berkenaan sepanjang lima hari untuk mendapatkan panduan bagi menjawab soalan kuiz.

"Setiap tahun, kami berusaha meningkatkan cabaran dengan mempelbagaikan konsep soalan supaya Kuiz Pelaburan PNB kekal sebagai antara medium yang mampu menarik minat orang ramai untuk mendalami ilmu pelaburan dan pengurusan kewangan,” katanya.

Menurut Mohammad, penganjuran Kuiz Pelaburan PNB pada tahun ini merupakan penganjuran kali ke-21.

"Sebelum ini, Kuiz Pelaburan PNB dianjurkan secara bersemuka yang mana peserta bertanding di pentas secara bersemuka. Sejak tahun lalu, kuiz ini telah dianjurkan sepenuhnya secara dalam talian sesuai dengan norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

"Kami dapati kaedah penyertaan dalam talian memberi peluang kepada penyertaan lebih meluas daripada orang ramai yang mana pada tahun 2020, sejumlah 173,980 penyertaan diterima iaitu meningkat 120 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Kuiz Pelaburan PNB yang dianjurkan sejak tahun 2001 setakat ini telah menarik hampir 800,000 penyertaan.

Penganjuran kuiz berkenaan merupakan antara usaha berterusan ASNB dan PNB di bawah teras Literasi Kewangan dalam menyampaikan ilmu pelaburan dan pendidikan kewangan kepada orang ramai menerusi kaedah lebih menarik.

Keputusan Kuiz Pelaburan PNB bagi kedua-dua kategori adalah berdasarkan semua jawapan yang betul.

Sistem yang telah dibangunkan oleh ASNB akan memilih pemenang secara rawak.

Penyertaan adalah tidak terhad, namun setiap peserta hanya layak untuk memenangi satu hadiah sahaja.