TUMPAT - Kesukaran empat beradik yang terpaksa berkongsi satu telefon bimbit milik ibu bagi menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah di Kampung Pasir Pekan Hilir di sini mendapat perhatian pihak polis dari Balai Polis Wakaf Bharu.
Kesemua mereka yang berusia antara 5 hingga 14 tahun itu berkongsi satu telefon kerana kesempitan hidup dialami keluarga selepas bapa mereka, Mohd Faizal Zainal Abidin, 38, menderita penyakit buah pinggang kronik tahap lima.
Ibu mereka, Noraini Mohd Zain, 34, berkata, suaminya itu tidak dapat bekerja kerana penyakit yang dihidapi menjadikan tubuhnya semakin lemah, kerap kekejangan otot dan mudah semput.
"Kami tak mampu hendak membeli telefon bimbit untuk setiap seorang anak bagi menjalani PdPR, sebab itu mereka terpaksa berkongsi menggunakannya termasuk saya dan suami dengan nilai kredit RM10 untuk seminggu.
"Duit itu diberikan oleh adik-beradik kami yang bersimpati selain dibantu menjelaskan rumah sewa RM350 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Isnin.
Mereka sebelum itu menerima kunjungan Ketua Balai Polis Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai yang menyerahkan sumbangan makanan sempena Ops Bantu bersama aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman.
Abd Halim yang juga pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Group Gatih Amal (GGA) turut menyerahkan sebuah telefon pintar yang disumbangkan menerusi persatuannya itu untuk kegunaan dua anak Mohd Faizal yang masih bersekolah bagi menjalani PdPR.
Dalam pada itu, Noraini berkata, mereka sebelum ini berniaga kedai makan selama lima tahun di Jasin, Melaka namun berpindah ke Kelantan selepas kesihatan Mohd Faizal semakin merosot dan perlu memulakan rawatan dialisis.
"Sepatutnya Mei lalu dia perlu jalani rawatan tetapi kerana bimbang kos yang perlu ditanggung, dia menangguhkan janji temu itu.
"Tahap kesihatannya juga semakin buruk dan penglihatan makin kabur menyebabkan dia bergantung pada saya untuk menguruskan kehidupan sehariannya,” katanya.
Bagi yang ingin membantu boleh mengubungi 014-9023375 atau salurkan ke akaun Noraini Mohd Zain Bank Islam 04033023003076.