KKM tak galak golongan berisiko makan di kedai

Iklan
Dr Noor Azmi (kiri) meninjau proses suntikan vaksinasi di PPV Dewan Merdeka Lenggong sempena lawatan rasminya pada Isnin.

LENGGONG - Golongan warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung tidak digalakkan untuk makan di kedai meskipun kerajaan membenarkan aktiviti 'dine-in' di restoran bermula Selasa.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, saranan itu bagi tujuan keselamatan dan kesihatan dengan mengambil kira risiko penularan wabak Covid-19 daripada varian Delta yang semakin ganas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebimbangan KKM daripada aktiviti berkumpul seumpama itu apabila ada segelintir masyarakat yang tidak berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan hingga mengakibatkan berlakunya penularan wabak.

"Apabila kerajaan umum, semua orang suka, tetapi bagi kita (KKM) suka dan risau kerana kita tak mahu ia menyebabkan pertambahan lagi kes.

Iklan

"Jadi kalau boleh bila makan di kedai, orang-orang tua dan kanak-kanak janganlah dibawa. Ibu mengandung pun janganlah pergi makan kerana mereka yang berisiko ini badannya lebih lemah berbanding orang lain.

"Varian Delta sangat ganas dan cepat merebak, sebab itu kita mestilah lebih berhati-hati dan serius dalam menjaga diri kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Merdeka Lenggong, di sini pada Isnin.

Iklan

Pada Ahad, kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta 'dine-in' di restoran bermula Selasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara dan kepada negeri yang berada di fasa dua dan seterusnya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, orang ramai juga boleh meminta pengusaha dan pekerja restoran mengemukakan pengesahan lengkap dua dos vaksin Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera.

Katanya, langkah itu bagi menjawab keraguan pelanggan yang bimbang dengan status pemilik premis dan pekerja sama ada telah menerima suntikan imunisasi atau tidak.

"Jika kita ragu-ragu, kita boleh bertanya kepada mereka. Pelanggan berhak untuk tanya dan minta untuk lihat MySejahtera (sijil digital vaksinasi).

"Lagi pula, kita memang boleh periksa sesama kita (sama ada telah divaksin atau tidak)," katanya.