Henti jadikan GLC sebagai alat politik: Bersih 2.0

Iklan
BERSIH 2.0

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhenti menyalahgunakan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai sokongan politik dan kuasa.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 melalui kenyataan pada Isnin berkata, kerajaan PN tidak wajar mempergunakan jawatan di Boustead dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk memancing dan mengisi kekosongan tersebut dengan penyokong mereka.

Iklan
Iklan

Tambah mereka, kerajaan sebaliknya memperkenalkan undang-undang bagi pelantikan GLC yang akan menggariskan proses pelantikan jawatan yang sesuai bagi menjamin keadilan, ketelusan serta berdasarkan merit.

"Pelantikan ini perlu ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dwipartisan bagi memastikan ia dibuat berdasarkan merit dan bukannya kepentingan mana-mana parti.

Iklan

"Undang-undang GLC yang baharu perlu untuk melarang wakil rakyat sama ada ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada dilantik.

"Ini bagi mencegah konflik kepentingan antara tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat yang akan mengawasi tindakan kerajaan melantik lembaga pengarah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Pada Khamis, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Rabu meletakkan jawatan di Boustead dan LTAT.

Ia selaras dengan ketetapan UMNO untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

Jelasnya, UMNO dan semua parti politik dituntut menyokong pembaharuan pelantikan GLC bagi meratakan padang permainan politik dan mengawal kuasa manipulasikan sebagai alat mereka.

"Pembaharuan ini akan menjamin syarikat tersebut akan dikendalikan oleh calon yang berkelayakan, profesional dan kompeten yang akan menempa kecemerlangan serta bekerja untuk kepentingan awam,” ujarnya.