Kastam rampas rokok bernilai RM1.5 juta

Iklan
Abdul Wahabi (tengah) menunjukkan rokok dan minuman keras yang dirampas baru-baru ini.

IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas rokok bernilai lebih RM1.5 juta yang cuba diseludup dalam dua operasi berasingan di Teluk Intan pada Julai lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, kes pertama ialah pada 24 Julai lalu melibatkan rampasan rokok putih yang dilakukan sepasukan penguat kuasa JKDM Stesen Teluk Intan di ruang parkir hentian rehat Batak Rabit, Teluk Intan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, serbuan hasil maklumat orang awam pada jam 5 pagi itu menemukan sebuah lori yang ditinggalkan di kawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan rapi, pasukan serbuan mendapati lebih kurang 1.3 juta batang rokok putih dengan nilai cukai, duti dan harga lebih kurang RM1.2 juta yang disyaki barang larangan kastam.

Iklan

"JKDM Stesen Teluk Intan turut merampas sebuah kenderaan dengan muatan rokok tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Abdul Wahabi berkata, bagi rampasan kedua, pihaknya menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di Taman Impiana, Teluk Intan pada 30 Julai.

Iklan

Menurutnya, premis yang disyaki menyimpan barang larangan kastam itu diserbu sepasukan penguat kuasa kira-kira jam 12 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan pasukan mendapati lebih kurang 407,200 batang rokok pelbagai jenama dengan nilai cukai, duti dan harga kira-kira RM350,000 yang disyaki barang larangan kastam.

"Serbuan ini juga dilakukan hasil maklumat orang awam," ujarnya.

Beliau berkata, pada 6 Ogos pula, penguat kuasa JKDM Stesen Ipoh melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis di Menglembu di sini yang disyaki menyimpan barang larangan kastam.

Dalam serbuan itu, katanya, minuman keras pelbagai jenama dengan nilai termasuk cukai dianggarkan sebanyak kira-kira RM100,000 dirampas.

Menurutnya, minuman keras tersebut ditemui disimpan di ruangan rahsia yang terdapat di premis berkenaan.

"Pasukan serbuan menemui lebih kurang 1.03 liter minuman keras pelbagai jenama dengan nilai cukai, duti dan harga kira-kira RM100,000 ditemui disembunyikan di ruang rahsia di premis tersebut.

"Susulan itu, seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Pakistan ditahan untuk membantu siasatan," katanya.