SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kemudahan e-JanjiTemu sebagai pendekatan terbaik untuk memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatannya.
PTPTN dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, kemudahan secara dalam talian (online) itu membolehkan pelanggan yang berhasrat untuk berurusan dengan pegawai PTPTN di kaunter pejabat PTPTN negeri atau cawangan yang berdekatan membuat janji temu terlebih dahulu sebelum hadir ke kaunter berkenaan.
"Pelanggan PTPTN boleh berurusan dengan lebih mudah dan selamat ketika pandemik Covid-19 melanda negara. Kemudahan ini diperkenalkan bagi membantu pelanggan yang mempunyai urusan penting dan memerlukan khidmat pegawai PTPTN secara bersemuka kerana ia tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian.
"Antara urusan yang dibenarkan di kaunter meliputi rundingan penstrukturan pinjaman, pendaftaran penama SSPN dan permohonan penangguhan disebabkan masih belajar,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, urusan lain yang dibenarkan ialah penghantaran cek potongan gaji majikan/ cek bendahari (pinjaman/ simpanan), penghantaran borang pembatalan/ pertukaran alamat/ kemas kini nombor akaun, tuntutan takaful pinjaman/ SSPN dan pembatalan direct debit.
Bagaimanapun, lain-lain urusan adalah kekal melalui kaedah secara dalam talian yang lebih mudah, cepat dan selamat.
Kemudahan e-JanjiTemu PTPTN ini telah mula digunakan sejak 26 Julai 2021 yang lalu.
"Pelanggan hanya perlu melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my dan klik pada e-Perkhidmatan serta melengkapkan maklumat janji temu, maklumat diri dan membuat pengesahan.
"Slip tempahan akan dikeluarkan untuk pelanggan mencetak atau muat turun atau 'screenshot' untuk dikemukakan semasa hadir di kaunter PTPTN yang terpilih.
Pelanggan perlu membuat janji temu untuk hadir ke kaunter PTPTN menggunakan kemudahan e-JanjiTemu PTPTN ini selewat-lewatnya sehari sebelum tarikh berurusan,” katanya.
Bagaimanapun, sekiranya pelanggan tidak dapat menghadiri janji temu pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan, ia akan terbatal dan perlu membuat tempahan baharu.
"Pelanggan yang telah mempunyai janji temu namun dari kawasan yang sedang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan berurusan dan kebenaran daripada pihak berkuasa perlu diperoleh sekiranya tinggal di luar kawasan.
Untuk maklumat lanjut mengenai e-JanjiTemu PTPTN, boleh layari portal rasmi di www.ptptn.gov.my.