"SAYA pun tak tahu where I stand," ujar Erra Fazira mengenai status perhubungan dengan penyanyi Shahir.
Disebabkan itu, pelakon dan penyanyi popular ini sukar untuk memberikan penjelasan lanjut kerana ia seakan tiada hala tuju.
"Jadi apabila kita tidak tahu... susah untuk saya nak menjelaskan apa-apa.
"Buat masa ini saya rasa ikut sahaja lah perjalanan yang telah diatur oleh ALLAH kepada saya," katanya.
Erra Fazira atau Fazira Wan Chek ketika ditemui di sidang media Miss Lawak di Mango's Tropikal Cafe, TREC, Kuala Lumpur, berkata, walaupun tidak berjumpa namun ada berhubung menerusi panggilan telefon dan mesej.
"Kami OK sahaja tidak bergaduh cuma memang sudah agak lama tak berjumpa dan sekadar bertanya khabar dari telefon," katanya ringkas.
Sekitar Julai tahun lalu, Shahir pernah mengeluarkan kenyataan akan menghantar rombongan meminang untuk berkahwin dengan penyanyi Jendela Hati tersebut.
Mengenai pembabitan dalam program Astro Warna, Miss Lawak Erra merupakan seorang juri tetap.
Program itu akan bermula pada 6 Mac ini, setiap hari Rabu pukul 9 malam.
Selain Erra Datuk AC Mizal juga merupakan juri tetap dan dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki.