PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat Malaysia bersempena tahun baharu Hijrah untuk melakukan hijrah dalam mendepani pandemik Covid-19.
Dalam titah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2021/1443 pada Isnin, Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat Malaysia bekerjasama dengan mematuhi Pelan Pemulihan Negara yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik itu.
Pada sambutan yang diadakan secara hibrid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Al-Sultan Abdullah bertitah, peristiwa hijrah telah memberi panduan yang jelas tentang erti sebuah pengorbanan dan kejayaan yang terpahat dalam lipatan sejarah.
Bersempena dengan tema sambutan ‘Manhaj Rabbani Umat Berkualiti,’ Seri Paduka Baginda menyeru rakyat Malaysia untuk bangkit bersama-sama untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan, mematuhi SOP yang ditetapkan demi negara tercinta.
"Beta berkeyakinan negara pasti akan berjaya keluar dari apa juga kemelut yang melanda jika semua terus berpadu tenaga dan mengamalkan sifat-sifat terpuji Baginda Nabi Muhammad SAW," titah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka Baginda bertitah, antara sifat mulia Nabi Muhammad yang wajar diikuti ialah bersifat benar dalam semua perkataan dan perbuatan, bersifat jujur, dipercayai dan juga bijaksana dalam menyampaikan dakwah.
Menghalusi sirah Nabi Muhammad, jelas membuktikan Seri Paduka Baginda, sebagai seorang pemimpin yang beretika tinggi dengan akhlak yang mulia merangkumi sifat-sifat integriti, kejujuran dan amanah dan ia begitu sebati sehingga Baginda diberi gelaran ‘Al-Amin.’
Dalam aspek pentadbiran dan pembuatan keputusan, Nabi Muhammad mengamalkan sikap terbuka dan sentiasa mendengar buah fikiran ramai menerusi konsep ‘syura.’
"Kerana itu Baginda sentiasa membuka ruang yang seluas-luasnya untuk bermesyuarat, berbincang dan mendengar pandangan dalam setiap perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan kemaslahatan ummah,” titah Seri Paduka Baginda.
Sifat diri Nabi Muhammad turut meliputi sifat tawaduk dan sentiasa mengagungkan kehebatan ALLAH SWT yang menjadikan Baginda seorang pemimpin yang tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang boleh mengundang gejala rasuah, tipu muslihat dan sifat mementingkan diri sendiri dengan kebesaran dunia seperti pangkat, harta dan kedudukan.
Titah Seri Paduka Baginda, Nabi Muhammad turut berusaha menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran dan semua itu bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang boleh merangsang sebuah pentadbiran negara yang beretika dengan nilai-nilai yang murni.
"Ciri-Ciri kepimpinan ini telah berjaya membentuk sebuah negara Islam yang dijulang tinggi dan disegani. Nabi Muhammad SAW adalah merupakan sebaik-baik ‘role model’ untuk diteladani dan diikuti oleh seluruh rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah, hijrah dan pembinaan negara saling berkait rapat antara satu dengan yang lain.
"Sesungguhnya menghayati hijrah bukan sahaja berupaya membentuk akhlak yang mulia malahan ia turut berupaya dijadikan asas pembentukan sebuah negara," titah Seri Paduka Baginda. - Bernama