Pengangguran kembali meningkat, Shahril persoal fungsi MPN

Iklan
Shahril Hamdan

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mempersoalkan fungsi kewujudan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) selepas kadar pengangguran dalam negara kembali menunjukkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus pada Mei lalu.

Beliau berkata, pencapaian MPN masih tidak memuaskan jika dibandingkan dengan jumlah rakyat yang masih berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

Iklan
Iklan

"Belanjawan 2020 tempoh hari, penubuhan MPN dihebahkan sebagai pendekatan hebat dan segar. Tak pernah wujud sebelum ini. Dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Apa yang telah dicapai oleh MPN ini?

"Tempoh hari dilaporkan 320,000 peluang pekerjaan diwujudkan oleh MPN. Pertama, angka itu amat tidak memuaskan. Kedua, bukan semua 320,000 itu tidak akan wujud kalau MPN ini tak tertubuh pun.

Iklan

"Jadi, apa sebenarnya kerja mereka selama ini? Saya pun kurang faham. Lebih sejuta orang tak ada pendapatan. Majlis ni buat apa?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Isnin melaporkan seramai 768,700 orang menganggur dengan kadar pengangguran dicatatkan meningkat kepada 4.8 peratus pada Jun berbanding 4.5 peratus pada Mei tahun ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Shahril berkata, keadaan sebenar pengangguran di Malaysia ketika ini lebih teruk daripada yang direkodkan oleh kerajaan.

"Nisbah guna tenaga jatuh seramai 33,000 orang dari Mei ke Jun. Bermakna dalam tempoh sebulan ada 33,000 orang yang tak lagi termasuk dalam kategori penganggur kerana terus ‘give up’ mencari kerja (Kita hanya dianggap penganggur jika kita dianggap aktif mencari kerja tapi tidak dapat).

"Jumlah rakyat yang ‘bekerja sendiri’ meningkat 4,000 orang. Dalam keadaan sekarang, kita sedia maklum"bekerja sendiri" tidak memberi gambaran optimistik dari sudut pendapatan,” katanya di media sosial itu.

Apa yang lebih mengejutkan menurut Shahril, rakyat yang bekerja tetapi berada dalam status ‘tidak bekerja buat sementara waktu’ kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga direkodkan meningkat daripada 661,400 orang kepada 801,100.

Tambahnya, sebahagian besar pekerja yang termasuk dalam kelompok tersebut juga terpaksa berhadapan dengan isu potongan gaji atau langsung tidak dibayar gaji.

"Kelompok ini tak dikira dalam angka pengangguran 4.8 peratus tadi itu.

"Sebab itu bila kita bercakap angka pengangguran dalam erti kata sebenar, bukan hanya 700,000 ke 800,000 atau empat ke lima peratus. Jelas, angka mereka yang benar-benar terkesan sudah jauh melangkaui 1 juta orang,” katanya.

Tambahnya, isu pengangguran di Malaysia tidak boleh diselesaikan hanya dengan menamatkan ‘lockdown’ sahaja kerana masalah tersebut kini sudah berada dalam keadaan yang runcing.

"Buka ekonomi, mungkin angka bertambah baik sedikit. Mungkin sebahagian dari yang 800,000 'tak bekerja sementara' tadi boleh kembali bekerja. Sebahagian yang kerja separuh masa boleh kembali penuh masa?

"Tapi berapa ramai? Berapa ramai dari mereka akan diberhentikan terus? Bagaimana pula angka kategori yang lain? Ini yang patut kerajaan dan MPN fikirkan, rancang dan bentang dahulu lagi,” soalnya di Facebook.