Kelonggaran aktiviti risiko rendah bagi negeri Fasa Satu PPN

Iklan
Kerajaan sedang mempertimbang untuk memberi kelonggaran bagi aktiviti berisiko rendah kepada penduduk di negeri yang berada di bawah Fasa Satu PPN. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbang untuk memberi kelonggaran bagi aktiviti berisiko rendah kepada penduduk di negeri yang berada di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu bagi memastikan keperluan kesihatan mental rakyat terjaga.

Iklan
Iklan

"Meskipun kita masih berada dalam fasa satu, berkaitan isu kesihatan mental kita boleh mempertimbang beberapa aktiviti yang selamat seperti pergi ke taman dan pasar-pasar malam yang terbuka, kesemua ini kita sedang pertimbang (untuk beri) kelonggaran," katanya pada sidang akhbar secara maya pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu belum dapat diumumkan buat masa ini kerana memerlukan pandangan pakar kesihatan.

Iklan

Sidang akhbar itu adalah yang pertama diadakan sejak pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan Keselamatan yang bertanggungjawab mengumumkan perkembangan PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Mengulas kelonggaran rentas negeri buat ibu bapa yang telah melengkapkan vaksinasi untuk berjumpa anak-anak berumur 18 tahun ke bawah, Hishammuddin berkata, keputusan itu dibuat bersandarkan kedudukan dan kesejahteraan mental serta aspek kekeluargaan yang perlu diambil kira setelah masing-masing sekian lama berdepan sekatan tersebut.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, kelonggaran bagi golongan bujang untuk berjumpa ibu bapa mereka tidak dapat dilaksana memandangkan jumlah golongan itu adalah ramai, justeru risikonya juga tinggi.

"Untuk peringkat awal ini, kita hanya membenarkan ibu bapa yang bimbang dan yang ada anak umur 18 tahun ke bawah yang tinggal berasingan. Biar kita temukan mereka. Ini bagi saya keputusan yang bukan bersandarkan ekonomi atau kesihatan pun, ini berkisarkan kedudukan mental.

"Kalau ini dapat dijayakan dan jumlah yang kita tengok daripada keputusan ini tidak membuatkan jumlah (kes) Covid-19 meningkat, jadi tiada sebab untuk masa-masa akan datang bagi kita perluaskannya kepada mereka yang bujang yang tertanya-tanya sekarang ini,” katanya.

Hishammuddin juga berharap orang ramai segera memaklumkan kepada penguat kuasa jika terdapat kes memalsukan sijil vaksin untuk merentas negeri, selain kerjasama pelbagai pihak seperti kepimpinan di peringkat negeri, kementerian dan agensi yang bertanggungjawab untuk menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri yang berada dalam Fasa Dua PPN dan seterusnya, berkuat kuasa Selasa.

Antara kemudahan yang dibenarkan ialah rentas daerah, aktiviti ‘dine-in’ atau makan di premis, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa dan hotel. - Bernama