SIKAPNYA yang gemar bergurau senda dan sering melakukan lawak bersahaja membuatkan kehilangan bekas pelumba kebangsaan Ishak Alwi dirindui oleh ahli keluarga dan sanak saudara, selepas pelumba legenda itu meninggal dunia pada Sabtu.
Menurut abangnya Rosman Alwi, yang juga bekas pelumba kebangsaan, Ishak yang pernah memenangi pingat emas edisi pertama Kejohanan Lumba Basikal ASEAN 1985 juga seorang lantang bersuara mengenai sesuatu perkara.
"Sehingga sekarang, kami (keluarga) termasuk anak buah masih teringat-ingat lawak serta gurauan arwah Ishak,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Ishak, 55, yang menghidap penyakit diabetis menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang pada lewat malam Sabtu lepas selepas dijangkiti Covid-19.
Allahyarham meninggalkan seorang ikteri, Zariah Ismail, lewat 40-an, serta lima anak terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan berusia 13 hingga 26 tahun.
Menurut Rosman, adiknya dilaporkan berada dalam keadaan lemah pada Jumaat sebelum dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
"Saya cuba memberitahu anaknya melalui panggilan video agar tidak panik ketika arwah bapanya itu lemah pada Jumaat dan mujur ambulan cepat tiba...namun keadaan arwah semakin merosot selepas dirawat di hospital dan doktor kemudian memaklumkan arwah positif Covid-19 selepas meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Rosman memaklumkan arwah yang menjalankan perniagaan sendiri selepas meninggalkan sukan berbasikal, tidak pernah terlepas daripada mengikuti perkembangan sukan berbasikal negara hingga sanggup turun ke Velodrom Cheras satu masa dahulu bagi menyatakan sokongan kepada pelumba tempatan.
Rosman berkata jenazah Ishak telah selamat dikebumikan pada 2 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, serta bersyukur urusan pengebumian berjalan lancar.
Ishak terkenal sebagai pelumba acara pecut dan satu kilometer ujian masa (ITT) pada era 80-an dan pernah mewakili negara di Kejohanan Remaja Dunia 1984 di Paris. - Bernama