Sambutan Maal Hijrah disambut sederhana, penuh kesyukuran

Iklan
Muhyiddin Yassin bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengaminkan Doa Awal Tahun Hijrah pada Sambutan Ma`al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin malam ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Selama dua tahun berturut-turut, Maal Hijrah 2021/1443 disambut dalam suasana cukup sederhana namun penuh kesyukuran meskipun negara masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19.

Bertemakan 'Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti,’ sambutan tahun baharu Hijrah mempunyai pengertian yang amat besar bagi umat Islam dalam mengimbas peristiwa bersejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari kota Makkah ke kota Madinah.

Iklan
Iklan

Di PUTRAJAYA, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat Malaysia melakukan hijrah dalam mendepani pandemik Covid-19 dan bangkit bersama-sama untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi negara tercinta.

Dalam titah baginda secara hidbrid sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan hari ini, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat Malaysia bekerjasama dengan mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik itu.

Iklan

Di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berharap kedatangan tahun baharu Islam mengurniakan umat Islam dengan keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar melawan Covid-19 menerusi PPN yang sedang giat dilaksanakan kerajaan.

Muhyiddin juga berharap sambutan Maal Hijrah dapat terus dihayati dan disemarakkan oleh umat Islam di negara ini walaupun semua masih berjuang untuk menamatkan pandemik itu.

Iklan

Hari ini turut menyaksikan bekas Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan manakala Setiausaha Agung Rabitah Al-‘Alam Al-Islamiy Makkah Al-Mukarramah, yang juga Penasihat Majlis Diraja Arab Saudi, As-Syeikh Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sambutan Maal Hijrah tahun ini diharap dapat memberikan motivasi kepada rakyat untuk sentiasa berjiwa besar dalam mendepani apa jua cabaran selain mempunyai keyakinan dan emosi yang kukuh ketika berdepan pandemik Covid-19.

"Saya menyeru kepada semua supaya sama-sama memupuk semangat ukhwah dan penyatuan, sebarkan kebaikan dan bersama membangunkan Negeri Sembilan yang berdaya maju, diberkati dan harmoni dan mendoakan agar keadaan kembali normal seperti sedia kala," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Pelancaran Hijrah Merdeka Online secara dalam talian hari ini.

Di SELANGOR, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan menyeru umat Islam agar mempersiapkan diri untuk berdepan dengan cabaran zaman dan berharap semua masyarakat sedia berubah ke arah yang terbaik tahun baru ini.

Di PULAU PINANG, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh, 70, yang juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Pulau Pinang, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri itu.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak secara maya malam ini, bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad, Abdul Halim Abdul Hamid, 66, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Ulamak.

Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, cabaran pandemik Covid-19 perlu diambil iktibar oleh umat Islam untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan saling membantu sesama manusia.

"Peristiwa hijrah juga mengajar kita supaya bersabar dalam apa jua cabaran di samping sentiasa berusaha untuk berikhtiar dan bertawakal kepada Allah SWT," katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 2021/1443 hari ini.

Di PERAK, Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad menghadiri Majlis Ambang Maal Hijrah peringkat negeri yang dianjurkan di Masjid Sultan Azlan Shah (MSAS) Ipoh malam ini dan turut hadir barisan Exco Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Mohd Yusop Husin, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta kira-kira 200 jemaah dengan mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Di SARAWAK, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari semasa menyampaikan amanatnya di Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya malam ini meminta umat Islam di negeri itu agar tidak menjadi masyarakat yang hanya melihat sahaja pembangunan di Sarawak sebaliknya bersama-sama mengambil peluang untuk meningkatkan ekonomi mereka.

Beliau berkata, untuk menjadi negeri maju dengan rakyatnya berpendapatan tinggi, umat Islam perlu berganding bersama rakyat lain di Sarawak bagi memanfaatkan peluang yang wujud hasil inisiatif kerajaan membuka ruang baharu yang dapat meningkatkan lagi ekonomi negeri ini.

Di TERENGGANU, sambutan yang disiarkan secara dalam talian memilih bekas Mufti Negeri Terengganu Datuk Syeikh Abdul Halim Abd Kadir, 86, sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun ini manakala Tokoh Imam Cemerlang dianugerahkan kepada Abd Wahab Muhammad, 77, dari Masjid Kampung Rawai, Marang dan Mohamad Puteh, 67, dari Masjid Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus pula diangkat sebagai Tokoh Bilal Cemerlang.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya berkata, ummah berkualiti yang mempunyai keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual berupaya mendepani apa jua rintangan tanpa berkeluh-kesah kerana yakin dengan qada' dan qadar Allah. - Bernama