Rakyat semakin terdesak untuk hidup

Iklan
Kehidupan rakyat di negara ini semakin terdesak kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara.

KEHIDUPAN rakyat di negara ini semakin terdesak kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Malah, jumlah rakyat yang dilaporkan miskin semakin meningkat akibat kehilangan atau pengurangan pendapatan.

Iklan
Iklan

Pada Sabtu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan laporan anggaran pendapatan isi rumah dan insiden kemiskinan Malaysia 2020 dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639.8 ribu isi rumah berbanding 405.4 ribu pada 2019.

Pada 1 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui berlaku peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang jatuh miskin.Berucap pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, Muhyiddin memaklumkan, data itu diperoleh berdasarkan laporan dikemukakan Majlis Tindakan Ekonomi dalam mesyuarat yang dipengerusikannya setiap minggu.

Iklan

Berdasarkan anggaran daripada Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) pula, sebanyak 100,000 perniagaan telah menghentikan operasi sejak tahun lalu sehingga sekarang.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman JP berkata, pada tahun 2020, lebih daripada 32,000 majikan terpaksa mengambil keputusan gulung tikar dan lebih 107,000 individu diberhentikan kerja.

Iklan

Tidak hairanlah rakyat pada masa ini terpaksa ikat perut demi kelangsungan hidup, malah lebih perit lagi ada yang terpaksa mencuri di pasar raya! Jika dahulu rakyat mencuri barang elektrik dan bernilai tinggi untuk mendapatkan wang, tapi sekarang kes kecurian sudah berubah apabila individu mencuri untuk mengisi perut.

Sekarang ini, tidak pelik jika ada kes individu dicekup di pasar raya didapati mencuri ikan dan sayuran.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Ameer Ali Mydin dalam satu wawancara khas bersama stesen televisyen tempatan mendedahkan, sebelum ini barang elektrik paling kerap dicuri.

Bagaimanapun, kata beliau, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ikan dan sayur adalah barangan yang paling kerap dicuri di pasar raya miliknya.

Krisis kemasyarakatan ini sangat menyedihkan kerana rakyat semakin terdesak dalam meneruskan kelangsungan hidup hingga terpaksa mencuri.

Kesan

Selain digemparkan dengan kes harian penularan dan kematian Covid-19 semakin meningkat, jangan terkejut kes kecurian barangan keperluan ini juga sama naik.

Terdapat banyak kes kecurian barang keperluan asas berlaku di pasar raya, kedai runcit dan premis lain sejak akhir-akhir ini.

Pada 3 April lalu, seorang lelaki dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes kecurian sekampit beras dan susu selepas memecah masuk sebuah kedai makan di Kota Tinggi, Johor.

Turut tular pada 20 Januari lalu, seorang suri rumah mencuri ubat-ubatan dan makanan untuk anaknya yang sakit dalam kejadian di sebuah pasar raya di Selangor.

Bagaimanapun, kisah wanita itu mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Nik Ezanee Mohd Faisal (jawatan sekarang Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor) yang turun padang bertemu dengan wanita tersebut untuk menghulurkan sumbangan.

Sememangnya, kesan penularan pandemik ini memberi impak luar biasa kepada pendapatan isi rumah.

Bagaimanapun, sebagai umat Islam kita kena berpegang bahawa mencuri adalah satu kesalahan dan berhak mendapat hukuman jika disabitkan kesalahan, selain mengelakkan orang lain mencontohinya.

Kita tidak mahu mencuri ini menjadi trend dalam masyarakat melakukan jenayah atas alasan kesempitan hidup atau desakan hidup.

Ketika ini, ramai yang hidup terdesak, tetapi perlu diingat bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.

Meskipun hidup dalam kesempitan disebabkan Covid-19, masih ada saluran untuk memohon bantuan meringankan beban menerusi agensi berkaitan seperti pusat zakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik.Kerajaan diharap memandang serius perkara ini dan jangan biarkan rakyat terus menderita akibat kesempitan disebabkan ekonomi tidak menentu.

*Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah pemangku Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor