KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas kerugian RM8,000 selepas disamun dua penjenayah yang menyamar sebagai 'pemberi bantuan' di sebuah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri di sini pada Isnin.
Mangsa berusia 82 tahun yang enggan namanya dikenali itu mendakwa ketika kejadian pada jam 2.30 petang, dia tinggal bersendirian, sebelum dua wanita datang membawa dua beg plastik barangan keperluan.
"Saya menyuruh mereka meletakkan barang di hadapan rumah, namun mereka mahu membantu meletakkan barang di dalam rumah kerana kasihan saya berkerusi roda.
"Saya berbual dengan salah seorang suspek di ruang tamu tanpa menyedari rakannya telah menggeledah bilik. Saya menyedari wang tunai RM8,000 yang disimpan dalam beg di bilik telah hilang apabila mereka meninggalkan rumah ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Wanita itu turut mendakwa kedua-dua suspek berkenaan kononnya membuat tinjauan untuk menghantar bantuan keperluan harian pada jam 12 tengah hari pada Ahad.
"Pada ketika itu, saya bersama seorang lagi rakan berada di rumah, suspek memaklumkan akan menghantar barangan makanan apabila proses dokumentasi telah siap pada keesokan hari (Isnin)," katanya.
Mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.