KUALA LUMPUR - Saat menerima perkhabaran kematian keluarga terdekat yang dijangkiti virus pembunuh Covid-19, pastinya akan menjadi detik yang paling memilukan tatkala terpaksa berhadapan hakikat kehilangan insan tersayang.
Lebih menyedihkan, ahli keluarga juga tidak berkesempatan untuk menatap kali terakhir apatah lagi mencium jenazah berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan dalam pengurusan jenazah pesakit Covid-19 untuk mengelakkan penularan wabak itu.
Menyedari kesedihan dan beban perasaan yang terpaksa ditanggung oleh kaum keluarga mangsa, Pusat Sehenti Sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Pusara WPKL), Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Kampung Baru, di sini mengambil inisiatif memperkenal kaedah terkini yang membolehkan waris membuat pengecaman secara digital.
Pengarah operasinya, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, pihaknya amat memahami pengendalian jenazah pesakit Covid-19 yang tidak boleh dilakukan seperti mana biasa, akan meninggalkan kesan perasaan mendalam terhadap waris apatah lagi anggota keluarga tidak boleh melawat pesakit Covid-19 ketika berada di hospital.
"Menyedari hakikat itu, Pusara WPKL menyediakan kemudahan identifikasi jenazah dengan seorang waris yang lengkap dipakaikan PPE akan melakukan pengecaman secara fizikal di dalam khemah pengecaman, manakala dua orang waris lagi boleh melihat wajah si mati melalui skrin televisyen di satu tempat khas yang disediakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya tempat khas itu dilengkapi dengan sistem pengecaman digital melalui paparan pada skrin televisyen yang disambung kepada kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi (HD), membolehkan waris merakam atau membuat panggilan video secara langsung untuk dikongsi kepada lebih ramai anggota keluarga lain yang tidak hadir.
Pakar perubatan forensik daripada Institut Perubatan Forensik (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang berpengalaman selama 14 tahun itu berkata, Pusara WPKL mula beroperasi sejak 20 Julai lepas dan telah menguruskan 1,058 jenazah pesakit Covid-19 setakat ini.
"Pusat yang beroperasi 24 jam ini menerima jenazah dari HKL, berkeupayaan menguruskan penyerahan maksimum 30 jenazah pesakit Covid-9 muslim dan 20 mayat bukan Islam dalam satu-satu masa.
"Kita dilengkapi lima kontena mayat yang mampu menampung 225 kapasiti simpanan jenazah dengan kadar penggunaan ketika ini hampir 70 peratus. Penyerahan jenazah Covid-19 kepada waris biasanya dilakukan dari jam 7 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Sementara itu, seorang sukarelawan, Aliimran Nordin, 34, yang ditugaskan membantu anggota keluarga jenazah pesakit Covid-19 dapat merasakan kesedihan yang ditanggung oleh waris ketika melakukan proses pengecaman melalui kemudahan yang disediakan itu.
"Ada anggota keluarga jatuh terduduk, emosi dan raut muka bertukar selepas melihat wajah insan tersayang di skrin komputer dan biasanya mereka akan meluahkan rasa ralat tidak dapat uruskan jenazah seperti biasa apatah lagi menciumnya.
"Ada juga waris yang sedang dikuarantin kerana kontak rapat kepada jenazah pesakit Covid-19 membuat pengecaman itu menerusi panggilan video,” katanya sambil memaklumkan setiap keluarga hanya diberikan masa lima minit untuk melakukan pengecaman.
Mudzakkir Mohd Zahidi, 30, yang kematian bapanya Mohd Zahidi Mohd Zain, 54, akibat Covid-19 berkata, beliau menggunakan aplikasi Google Meet di telefon semasa proses pengecaman digital bagi membolehkan lebih ramai saudara mara menatap wajah jenazah bapanya terutama mereka yang tinggal di kampung.
"Kita sedia maklum pengendalian jenazah pesakit Covid-19 berbeza dan tidak dapat bersua muka secara dekat dengan ahli keluarga lain kerana sekatan perjalanan, sekurang-kurang kaedah ini mengubat kerinduan dan tanda ingatan terakhir sebelum jenazah dikebumikan,” katanya yang tinggal di Shah Alam, Selangor. - Bernama