Wanita rebah depan bank, disah positif Covid-19

Iklan
Gambar tular seorang wanita ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah bank.

SUNGAI PETANI - Seorang wanita yang rebah di hadapan sebuah bank di Lagenda Heights, Sungai Petani pada Isnin lalu disahkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, keputusan itu diterima pada Selasa selepas ujian saringan dilakukan ke atas wanita berusia 63 tahun itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk tindakan lanjut.

"Saringan yang dijalankan mendapati wanita terbabit dijangkiti virus Covid-19," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah bank kira-kira jam 8.15 pagi.

Menurut Adzli, polis yang tiba di tempat kejadian mendapati keadaan wanita tersebut dalam keadaan tertiarap berhampiran laluan masuk bank terbabit.

Iklan

"Wanita itu dikatakan sering berada di kaki lima hadapan bank itu untuk meminta sedekah seawal jam 9 pagi," katanya.

Menurutnya, saksi yang juga salah seorang kakitangan bank itu berkata, warga emas itu pada mulanya dilihat tidak bermaya dan duduk di hadapan pintu masuk ke mesin juruwang automatik (ATM).

Saksi kemudian melihat mangsa secara tiba-tiba jatuh tertiarap dan tidak sedarkan diri.

Seorang lelaki sebelum itu dilaporkan tiba-tiba rebah kira-kira jam 8.50 pagi Sabtu lalu di hadapan sebuah dobi dekat Taman Tunku Haminah yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari bank berkenaan.

Lelaki terbabit turut disahkan positif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan ke atasnya.