Kaji cara berkesan atasi masalah mat rempit

Iklan
Kerajaan digesa untuk mengkaji cara berkesan bagi mengatasi masalah mat rempit dan samseng jalanan yang berlarutan sejak sekian lama. Gambar kecil: Lee Lam Thye

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mengkaji cara berkesan bagi mengatasi masalah mat rempit dan samseng jalanan yang berlarutan sejak sekian lama sehingga membahayakan orang ramai serta anggota polis.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, setiap punca dan akibat yang mewujudkan isu mat rempit dan samseng jalanan itu perlu diperhalusi serta diperincikan bagi mewujudkan solusi terhadap masalah tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan juga perlu beriltizam dengan melibatkan semua lapisan masyarakat untuk mengatasi masalah berkenaan yang dilihat hanya wujud di Malaysia.

"Sehingga tahun 2021, terlalu banyak operasi sekatan jalan raya dijalankan terhadap samseng jalanan tetapi masalah ini tetap berlarutan sehingga sekarang.

Iklan

"Oleh demikian, jalan penyelesaian untuk terus membendung hal ini harus dipertingkatkan agar ia tidak lagi meragut nyawa pada masa akan datang.

"Kerajaan boleh mengkaji langkah-langkah untuk mengatasi kegiatan ini seperti mengetatkan larangan terhadap pengubah suaian kenderaan motor yang digunakan di jalan raya.

Iklan

"Ini dengan melarang aktiviti mengubah suai motor supaya dapat menghalang aktiviti memperagakan motor-motor yang telah diubah suai di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemalangan yang menimpa dua anggota polis sehingga menyebabkan kematian selepas mengejar mat rempit di Lebuhraya Kajang SILK (SILK), arah Kajang menghala Putrajaya pada Ahad.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, motosikal yang ditunggangi anggota polis berkenaan bertembung dengan motosikal seorang lagi anggota ketika mereka sedang bertugas dalam Operasi Samseng Jalanan.

Sementara itu, Lam Thye berkata, kerajaan boleh mengkaji langkah-langkah lain untuk menghalang kegiatan tersebut menerusi pindaan terhadap undang-undang seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 agar hukuman terhadap pesalah laku boleh dipertingkatkan.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, kejadian pada Ahad itu membuktikan bahawa anggota polis terdedah kepada risiko sangat tinggi, sekali gus menunjukkan pentingnya aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Jelas beliau, isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan anggota polis perlu diberikan penekanan dalam latihan susulan kejadian tersebut.

"Susulan kematian dua anggota polis ini, saya sangatlah berharap agar isu-isu yang melibatkan kebajikan keluarga kedua-dua mangsa haruslah diberi perhatian yang sangat berat.

"Mangsa yang maut kerana menjalankan tugas demi negara seharusnya diberi pampasan setimpal buat keluarga mangsa yang hilang punca pendapatan kehidupan,” ujar beliau.

Dalam kenyataan sama, Lam Thye turut merakamkan ucapan takziah kepada anggota yang maut dan kesemua ahli keluarga yang terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN:Dua anggota polis maut ketika kejar mat rempit