KOTA BHARU – Walaupun kerajaan memberi kelonggaran kepada mereka yang sudah lengkap menerima dos vaksin di negeri ini untuk makan di restoran, namun ada pengusaha kedai yang masih menyediakan makanan untuk dibungkus sahaja.
Tinjauan Sinar Harian pada Selasa bagaimanapun mendapati terdapat beberapa kedai makan yang ditutup mungkin disebabkan cuti umum.
Bagaimanapun, kedai makan yang dibuka masih belum menyediakan perkhidmatan ‘dine-in’ disebabkan pengusaha dan pembantu mereka masih tidak cukup dua dos vaksin suntikan.
Peniaga nasi kandar di Pengkalan Chepa, Azhar Taib, 44, berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak membenarkan kedai makannya beroperasi secara ‘dine-in’ kerana belum menerima suntikan dos kedua.
Menurutnya, keputusan tersebut diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai serta enam pekerja yang lain terjamin.
"Buat masa sekarang, kami berharap sangat proses vaksinasi ini dapat dilakukan secepat mungkin. Kalau ikutkan, kami sudah lama mendaftar, tapi nak buat macam mana, kena sabar menunggu.
"Insya-ALLAH apabila semua sudah vaksin, kami akan buka kedai makan seperti biasa. Buat masa sekarang, kita sediakan makanan untuk dibungkus sahaja.
"Pelanggan pun sudah biasa dengan situasi ini. Ada yang telefon untuk tempah sebelum mereka sampai,” katanya yang berasal dari Bukit Mertajam.
Seorang lagi peniaga makanan di Wakaf Che Yeh, Farah Azmi, 32, pula berkongsi kerisauan memandangkan pekerjanya masih belum cukup menerima dua dos vaksin.
Sebab itu, katanya, mereka masih menyediakan makanan untuk dibungkus sahaja buat sementara waktu.
"Kami risau jika terjadi sesuatu yang tidak diingini, ia akan menyusahkan banyak pihak. Sebab itu kami ambil keputusan untuk jual bungkus saja.
"Harapnya urusan vaksinasi ini dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan kita sudah ada ‘perisai’ kalau jadi apa-apa. Mohon dijauhkan segala perkara yang tidak elok untuk semua peniaga,” katanya.
Farah berkata, dia amat memahami keperluan pelanggan terutama mereka yang tinggal berseorangan kerana makan di kedai adalah inisiatif terbaik serta mudah.