Bekas Kadi Besar Syed Abdul Rahman Tokoh Maal Hijrah Pahang 2021

Iklan
Anak-anak penerima Tokoh Ma'al Hijrah Pahang, bekas Qadhi Besar Pahang Allahyarham Syed Abdul Rahman Syed Mohammad Benyahya menunjukkan gambar arwah bapa dan anugerah yang diterima ketika sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2021M/1443H yang dirasmikan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara maya dari Istana Abdulaziz, hari ini. - Foto Bernama

KUANTAN - Bekas Kadi Besar Pahang, Syed Abdul Rahman Syed Mohammad Benyahya diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pahang 2021 pada sambutan yang diadakan di Dewan Auditorium Kolej Universiti Yayasan Pahang di sini, pada Selasa.

Dua anak Allahyarham, Syed Mohd, 71, dan Syed Akil, 59, mewakili arwah bapa mereka menerima anugerah itu termasuk wang tunai RM10,000, trofi, plak, kalung dan sijil, dalam majlis yang diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Iklan
Iklan

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat menyaksikan majlis itu secara maya.

Syed Akil ketika ditemui pemberita berkata, beliau mewakili keluarganya mengucapkan syukur dan terima kasih atas pengiktirafan yang diberikan kepada Allahyarham bapanya.

Iklan

Mengimbau sejarah pendidikan dan kerjaya bapanya, beliau berkata, Allahyarham Syed Abdul Rahman pernah melanjutkan pendidikan di Singapura dan Hadhramaut, Yaman serta memulakan kerjaya sebagai seorang guru, sebelum bertugas sebagai kadi di Raub sekitar 1960-an.

Syed Abdul Rahman kemudiannya dilantik sebagai kadi di Kuantan dan berkhidmat sebagai Kadi Besar Pahang bermula 1976 hingga 1982.

Iklan

"Alhamdulillah kami bersyukur dengan penghargaan ini. Arwah bapa seorang yang tegas, didikan agamanya kuat, yakni solat Subuh, Maghrib dan Isyak mesti berjemaah, kalau ada di rumah arwah juga akan bagi tazkirah kepada kami adik-beradik," kata anak keenam daripada 11 beradik itu.

Syed Abdul Rahman turut aktif dalam penulisan buku agama dan kitab antaranya Qiraah Mufidah (buku mengenal huruf al-Quran dengan mudah) dan Kitab Ilmu Faraid (Harta Pusaka), selain pernah dilantik sebagai guru agama kepada bakal haji semasa dalam kapal menuju ke Mekah pada 1970, serta menjadi Hakim Tilawah al-Quran peringkat negeri dan kebangsaan.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1923 di Pekan meninggal dunia pada 1991, pada usia 68 tahun.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung secara sederhana itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pada majlis sambutan berkenaan, seorang bekas kakitangan awam yang aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, Zakaria Ishak, 63, dikurniakan Anugerah Perkhidmatan Agama, manakala Pengurus Syarikat Pelupusan al-Quran Zainal Idris, 55, diberikan Anugerah Inovasi Kakitangan.

Anugerah Inovasi Jabatan pula dimenangi Jabatan Kerja Raya daerah Kuantan manakala Anugerah Mubaligh Saudara Baru dinobatkan kepada bekas Pembantu Hal Ehwal Islam Daerah Lipis Allahyarham Abd Latif Yusof.

Kesemua pemenang itu menerima wang tunai RM5,000, plak berserta sijil.

Sementara itu, Kampung Orang Asli Sop, Pos Lenjang, Lipis membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, plak dan sijil, selepas memerangi Anugerah Perkampungan Orang Asli Terbaik Pahang. - Bernama