PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak menyasarkan negeri itu bakal mendapat liputan perkhidmatan telekomunikasi bertaraf 5G menjelang tahun 2021.
Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, sasaran itu dibuat susulan kerajaan Perak kini sedang memfokuskan pembinaan sekurang-kurangnya 2,000 menara telekomunikasi di seluruh negeri dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, kerja pembinaan menara telekomunikasi akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telco terpilih bermula pada bulan Mac tahun ini.
"Bagi kerajaan Perak, pihak kami sedang melaksanakan fasa terakhir pembinaan menara telekomunikasi di Perak.
"Dengan hasil tinjauan dibuat di lapangan oleh syarikat telco dipilih sebelum ini, kita menjangkakan sekurang-kurangnya 50 hingga 100 menara komunikasi akan dibina pada setiap bulan bermula Mac ini.
"Lokasi pembinaan menara terbabit bergantung kepada lokasi kawasan berkepadatan penduduk tinggi dicadangkan pihak berkuasa tempatan(PBT) dan pemilik tanah persendirian," katanya pada sidang media sempena majlis bertemu rakyat DUN Titi Serong dan Parlimen Parit Buntar di sini hari ini.
Hasnul Zulkarnain yang juga ADUN Titi Serong berkata, bagi mencapai hasrat kemudahan liputan komunikasi terbaik, kerajaan negeri berharap rakyat memahami objektif pembinaan menara komunikasi terbabit bertujuan memberi manfaat kepada mereka pada masa hadapan.
Menurutnya, tindakan pihak tertentu membantah pembinaan menara telekomunikasi atas alasan mengundang penularan kadar radiasi tinggi sebenarnya tidak berasas kerana pancaran gelombang radiasi dihasilkan menara telekomunikasi sebenarnya sangat rendah.
"Bahkan kadar radiasi dihasilkan telefon pintar yang dimiliki setiap rakyat negara ini sebenarnya lebih tinggi daripada pancaran radiasi dihasilkan menara telekomunikasi.
"Dalam memenuhi tuntutan rakyat mahukan kemudahan liputan perkhidmatan komunikasi terbaik, mereka juga perlu menyokong usaha kerajaan ke arah penyediaan liputan perkhidmatan komunikasi bertaraf 5G kelak," katanya.
Mengenai status pemeriksaan menara komunikasi haram di seluruh negeri Perak berakhir 31 Disember lalu, Hasnul Zulkarnain menegaskan kebanyakan pemilik menara haram yang 'menyerah diri' sudah didaftarkan dan membayar denda dikenakan ke atas mereka.
Menurutnya, usaha pemantauan pembinaan menara telekomunikasi haram masih giat dijalankan dan tindakan keras akan diambil sekiranya perbuatan itu masih berlaku selepas ini.
"Cuma kita mengharapkan mana-mana pemilik menara telekomunikasi haram agar serah memaklumkan kepada PBT di kawasan masing-masing untuk urusan pemutihan agar mereka tidak dikenakan tindakan berat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hasnul Zulkarnain menegaskan inisiatif program bertemu rakyat peringkat DUN Titi Serong dan Parlimen Parit Buntar akan diteruskan pada setiap bulan.
"Pada bulan kedua penganjuran, kita bersyukur program ini menjadi satu pusat hentian setempat kepada rakyat DUN Titi Serong untuk menyelesaikan urusan dengan pelbagai agensi kerajaan yang berkampung seharian di pejabat pusat khidmat kami.
"Kami merancang bantuan kebajikan rakyat akan ditambah dalam program ini bagi memastikan lebih ramai rakyat memanfaatkan kemudahan disediakan,"katanya.